KKR mohon tambahan dana penyelenggaraan jalan

Iklan
Ahmad (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Kontraktor 2026 di Pusat Konvensyen Picca pada Selasa.

BUTTERWORTH - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memohon tambahan peruntukan bagi kerja penyelenggaraan jalan selepas hanya menerima kira-kira RM2 bilion daripada RM4 bilion yang dipohon sebelum ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, permohonan tambahan itu akan dibawa dalam pertemuan bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan pegawai kanan kementeriannya pada petang Selasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peruntukan tambahan diperlukan bagi memastikan kerja penyelenggaraan jalan termasuk di lokasi berisiko tinggi dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.

“Kita perlu RM4 bilion tetapi dapat cuma RM2 bilion. Itu lebih kurang angka setepatnya saya tidak ada pada masa ini, tetapi saya memang ingat.

Iklan

“Petang ini kami akan mohon lagi. Menteri dan pegawai tinggi kami akan berjumpa Menteri Kewangan II untuk memohon segala perkara ini. Harapnya boleh bertambahlah penyenggaraan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Konvensyen Kontraktor 2026 di Pusat Konvensyen Picca di sini pada Selasa.

Tambahnya, peruntukan penyelenggaraan yang diterima KKR perlu dibelanjakan sepenuhnya bagi melaksanakan kerja berkaitan dan tidak boleh disimpan untuk kegunaan lain.

Iklan

“Kita belanja semua. Kita tidak boleh simpan, kita kena belanja,” katanya.

Ahmad berkata lagi, kekangan peruntukan menyebabkan KKR perlu mengutamakan kerja penyelenggaraan di kawasan yang dikenal pasti sebagai 'black spot' atau lokasi kerap berlaku kemalangan.

“Kalau boleh, kita dapat semuanya. Tetapi kita faham. Oleh itu, kita mengutamakan tempat-tempat black spot, tempat yang selalu berlaku kemalangan untuk kita selenggara dengan baik.

“Ia termasuk penyenggaraan dan pengurapan semula jalan, perabot jalan serta pencahayaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 3,000 lampu baharu untuk lebuh raya diperoleh tahun ini melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) walaupun jumlah berkenaan masih belum mencukupi berbanding keperluan sebenar.

“Kita tidak dapat cahayakan seluruh lebuh raya. Tetapi tahun ini kita dapat 3,000 lampu baharu untuk lebuh raya melalui LLM.

“Keperluan memang lebih daripada itu, tetapi itu sahaja yang kita perolehi,” katanya.

Mengulas aspek keselamatan jalan raya, Ahmad berkata, keadaan jalan hanya menyumbang kira-kira 13 peratus kepada faktor kemalangan berbanding kecuaian manusia sebanyak 81 peratus dan keadaan kenderaan tujuh peratus.

Katanya, keadaan jalan yang menyumbang kepada kemalangan termasuk laluan berselekoh yang memerlukan penambahbaikan serta jalan gelap yang memerlukan pencahayaan.

“Penyenggaraan jalan ini 13 peratus daripada keseluruhan kemalangan. Kebanyakannya masih lagi merujuk kepada kecuaian manusia.

“Bagi kenderaan pula, ia termasuk masalah brek dan kegagalan memeriksa alat ganti serta komponen kenderaan,” katanya.