Permohonan laporan RCI Batu Puteh babit Tun M sebagai bukti baharu

Iklan
Dr Mahathir diberi tempoh dua minggu untuk memfailkan permohonan supaya laporan RCI dimasukkan sebagai bukti baharu dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Selasa.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diberi tempoh dua minggu untuk memfailkan permohonan supaya laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dimasukkan sebagai bukti baharu dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa.

Ia membabitkan prosiding RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Iklan
Iklan

Semasa prosiding, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizul Azmi Adnan menyoal peguam, Zainur Zakaria sama ada pihaknya bergantung kepada penemuan dalam laporan akhir RCI berkenaan.

Zainur yang mewakili Dr Mahathir yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-101 pada Julai lalu itu, kemudiannya menjawab “Ya”.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir gagal mohon diwakili peguam kes RCI Batu Putih

Azizul berkata, permohonan semakan kehakiman oleh Dr Mahathir selaku perayu difailkan sebelum laporan RCI disiapkan.

Iklan

“Sebelum ini tiada permohonan dibuat untuk mengemukakan laporan berkenaan sebagai bukti baharu,” kata Azizul yang bersidang bersama Datuk Ong Chee Kwan dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun.

Justeru, mahkamah menetapkan 10 September depan untuk pengurusan kes seterusnya.

Ketika berhujah, Zainur berkata, bekas Ahli Parlimen Langkawi berkenaan tidak diberi peluang untuk hadir sepanjang prosiding RCI serta mencabar keterangan yang dikemukakan terhadapnya.

Menurutnya, pasukan petugas yang ditubuhkan pada 8 Oktober 2021 sebagai langkah awal sebelum penubuhan RCI, telah membuat kesimpulan bahawa anak guamnya bertanggungjawab terhadap kehilangan wilayah yang dipertikaikan itu.

“RCI kemudiannya membuat penemuan yang mengaitkan anak guam kami, termasuk dakwaan bahawa beliau telah mengelirukan Kabinet mengenai isu berkenaan,” katanya yang hadir bersama peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Nurmustanir Md Nor.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan membantah permohonan perayu dengan alasan ia bersifat ‘akademik’ iaitu tidak lagi mempunyai kesan terhadap kes berkenaan.

Selain Shamsul, kerajaan selaku responden turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Nur Hafizza Azizan dan Peguam Persekutuan, Ng Wee Li.

RCI yang menyiasat pengendalian kedaulatan Malaysia ke atas pulau berkenaan telah mendengar keterangan daripada Dr Mahathir pada 12 Jun 2024.

Laporannya telah dinyahklasifikasikan dan didedahkan kepada umum pada 5 Disember tahun sama.

RCI menyimpulkan bahawa, Dr Mahathir mungkin sengaja menggalakkan Kabinet untuk tidak meneruskan dua permohonan undang-undang bagi menyemak dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa 2008 yang menganugerahkan kedaulatan ke atas Batu Puteh kepada Singapura.

RCI juga mengesyorkan, siasatan jenayah dimulakan terhadap Dr Mahathir di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan, dengan kemungkinan hukuman di bawah Seksyen 417 dan 418 kanun sama.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, pada 22 Julai 2025, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan terhadap Dr Mahathir, atas pertimbangan usia.

Pada 5 Jun 2024, Dr Mahathir memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman supaya prosiding RCI itu, dijalankan secara terbuka.

Berdasarkan afidavit sokongan, bekas pemimpin politik itu mendakwa, keputusan RCI untuk tidak mengadakan prosiding secara terbuka kepada orang awam, sebagai tidak munasabah.

Beliau memfailkan permohonan itu melalui Law Practise of Rafique di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan lapan responden iaitu Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif dan Timbalannya, Tan Sri Zainun Ali.

Lima lagi responden ialah ahli RCI iaitu Pengamal Undang-Undang Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, bekas Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Pakar Undang-Undang Perlembagaan dan Undang-Undang Pentadbiran, Datin Dr Faridah Jalil, Pegawai Kewangan Negeri Johor Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Laut Wilayah Selatan, Jabatan Laut Malaysia Dickson Dollah serta Setiausaha RCI, Zamri Misman.

Dr Mahathir memohon deklarasi bahawa beliau merupakan individu yang terlibat atau berkaitan dengan perkara yang disiasat oleh RCI untuk mengkaji perkara mengenai pengendalian kes itu di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Selain itu, beliau memohon perintah melarang Md Raus daripada bertindak selaku Pengerusi RCI dan melarang Dr Baljit serta Mohammed Ridha menjadi ahlinya.

Dr Mahathir berkata, pelantikan Md Raus sebagai Pengerusi badan bebas berkenaan, menimbulkan ‘bahaya sebenar sikap berat sebelah’ kerana wujud perselisihan faham antara Md Raus dengan beliau.

Seterusnya beliau mendakwa, ia akan memberi kesan terhadap ketelusan Md Raus dalam membuat keputusan bagi prosiding RCI.

Di Mahkamah Tinggi pada 13 Januari 2025 lalu, Hakim, Datuk Amarjeet Singh yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, menolak permohonan semakan kehakiman Dr Mahathir agar beliau dan peguamnya dibenarkan untuk hadir dalam prosiding RCI berkenaan.