BUTTERWORTH- Kira-kira 75 peratus projek pembinaan yang lewat dan sakit di seluruh negara berpunca daripada kelemahan pengurusan, pengawasan operasi serta kekangan kewangan kontraktor.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, baki 25 peratus pula disebabkan masalah teknikal di tapak projek.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan kontraktor perlu memperkukuh kedudukan kewangan, pengurusan dalaman dan keupayaan melaksanakan projek bagi memastikan kelangsungan perniagaan dalam industri pembinaan.
“75 peratus projek lewat berpunca secara langsung daripada pengurusan kontraktor yang lemah, pengawasan operasi tidak kukuh serta kekangan kewangan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Konvensyen Kontraktor 2026 di Pusat Konvensyen Picca, di sini pada Selasa.
Menurut Ahmad, kontraktor tidak lagi boleh bergantung kepada keupayaan teknikal semata-mata, sebaliknya perlu mempunyai tadbir urus kukuh, aliran tunai yang sihat, tenaga kerja berkemahiran, penggunaan teknologi serta rekod prestasi projek yang baik.
“Untuk bertahan, berkembang dan bersaing mendapatkan tender kerajaan, kontraktor mesti mempunyai keupayaan kewangan yang kukuh, pengurusan baik, tadbir urus yang mantap serta kemampuan menyiapkan projek mengikut tempoh, bajet dan standard ditetapkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa industri pembinaan menolak kewujudan syarikat proksi, bidaan proksi, pakatan menetapkan harga tender serta amalan ‘Ali Baba’ apabila syarikat yang memperoleh kontrak menyerahkan keseluruhan kerja kepada pihak ketiga.
“Kita mesti hapuskan amalan ‘Ali Baba’ yang berleluasa.
“Perusahaan Bumiputera tidak seharusnya mendapatkan projek hanya untuk menyewakan atau menyerahkan keseluruhan kontrak kepada pihak ketiga tanpa membina kepakaran dan keupayaan pelaksanaan sendiri,” katanya.
Beliau menambah, perkara itu penting dalam usaha melahirkan lebih banyak kontraktor Bumiputera yang berkeupayaan memandangkan penyertaan mereka masih tertumpu pada gred kontraktor terendah.
Katanya, rekod Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menunjukkan kontraktor Bumiputera merangkumi 47,064 atau 72 peratus daripada keseluruhan 65,446 kontraktor G1 yang berdaftar di seluruh negara.
Bagaimanapun jelasnya lagi, jumlah itu menurun kepada 28 peratus bagi kontraktor G7, dengan hanya 3,097 kontraktor Bumiputera daripada keseluruhan 10,837 syarikat berdaftar dalam gred tertinggi berkenaan.
“Jangan kekal di G1, anda perlu naik taraf gred,” katanya lagi.
Tambah Ahmad, cabaran yang dihadapi bukan kekurangan kontraktor Bumiputera peringkat permulaan sebaliknya kesediaan syarikat terbabit meningkatkan kapasiti, memperkemas pengurusan kewangan dan melangkah ke projek yang lebih besar serta kompleks.
Mengulas mengenai transformasi teknologi, Ahmad turut menggesa kontraktor mengguna pakai Building Information Modelling (BIM) serta teknologi digital lain kerana ia bukan lagi pilihan dalam menghadapi persaingan industri pembinaan yang semakin sengit.
“Negara seperti China telah mengintegrasikan BIM dalam kitaran hayat projek mereka sejak lebih tujuh tahun lalu.
“Jika kontraktor tempatan enggan menggunakan BIM dan teknologi digital hari ini, mereka akan ketinggalan dalam pasaran global,” katanya.