Pertumbuhan ekonomi separuh pertama 2026 bukti ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan - Amir Hamzah

Iklan
Amir Hamzah menyampaikan ucapan pembukaan pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 bersama wakil-wakil kerajaan dan agensi bukan kerajaan di Kementerian Kewangan pada Selasa. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini, yang melangkaui unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) antara empat hingga lima peratus, membuktikan ekonomi negara kekal berdaya tahan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KDNK pada suku pertama tahun ini tumbuh pada kadar 5.4 peratus dan mencecah enam peratus pada suku kedua, menjadikan pertumbuhan ekonomi keseluruhan berkembang sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama 2026.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga turut menaikkan unjuran KDNK Malaysia daripada 4.3 peratus pada Januari 2026 kepada 4.7 peratus pada April 2026.

"Walaupun unjuran negara-negara lain telah menurun, unjuran ini dikekalkan dalam penerbitan terkini pada Julai lepas, dan meskipun berdepan dengan ketidaktentuan global, asas ekonomi negara kekal berdaya tahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di sini pada Selasa.

Iklan

Amir Hamzah berkata, nilai ringgit pula kekal stabil sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini walaupun berdepan keadaan global yang tidak menentu.

Menurutnya, pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2026 pula kekal mampan sebanyak RM92.8 bilion.

Iklan

"Malaysia melonjak lapan anak tangga kepada kedudukan ke-15 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2026 berbanding tangga ke-23 tahun lepas.

"Moody's Ratings mengekalkan penarafan kredit negara pada A3, dengan tinjauan"Stabil" dan Malaysia dijangka dapat mengatasi pertumbuhan KDNK negara berpenarafan yang setara," katanya.

Beliau berkata, walaupun pencapaian ini membanggakan, ia menjadi tidak bermakna sekiranya rakyat masih bergelut dengan beban kos sara hidup.

Menurutnya, walaupun inflasi bagi tujuh bulan pertama tahun ini meningkat kepada 1.8 peratus susulan daripada peningkatan harga minyak mentah dunia akibat konflik Asia Barat, kerajaan terus menambah ikhtiar untuk meringankan beban hidup rakyat.

Amir Hamzah berkata, antara langkah yang diambil ialah menambah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM15 bilion, menjadikannya sebagai peruntukan bantuan terbesar bersasar yang tertinggi dalam sejarah.

Katanya, ini termasuk mengagihkan bantuan penghargaan SARA kepada 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang terbukti mengekalkan momentum kuasa beli domestik.

Beliau berkata, kerajaan juga melaksanakan penyasaran subsidi diesel secara lebih bersasar melalui mekanisme BUDI Madani Diesel mulai 1 Julai 2026.

Melalui penggunaan MyKad, rakyat Malaysia yang layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter dengan had asas sehingga 200 liter sebulan manakala pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang memenuhi syarat boleh memohon tambahan 100 liter sebulan.

Menurutnya, langkah ini bertujuan memastikan subsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan di samping mengurangkan ketirisan.

Selain itu, subsidi harga RON95 dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter bagi penggunaan 200 liter sebulan melalui program BUDI Madani RON95 (BUDI95) kepada rakyat.

Bertemakan Malaysia Madani: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi, Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini.

Turut hadir pada sesi libat urus hari ini ialah Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour; ketua setiausaha dan ketua perkhidmatan, pegawai kanan kerajaan, wakil industri, persatuan, badan bukan kerajaan serta tokoh ekonomi dan ilmuan. - Bernama