JBPM cadang garis panduan pengecasan EV di kediaman

Iklan
Nor Hisham (kanan) beramah mesra dengan pegawai JBPM dan peserta yang hadir dalam Hub Kemahiran Kebombaan di di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membawa cadangan untuk mewujudkan garis panduan keselamatan pengecasan kenderaan elektrik (EV) di kediaman kepada kerajaan, susulan peningkatan penggunaan kenderaan berkenaan.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, perkara itu penting untuk diberi perhatian kerana pemantauan JBPM terhadap pendawaian di rumah adalah terhad, khususnya selepas pemutus litar miniatur (MCB).

Iklan
Iklan

“Jika membeli pengecas kenderaan elektrik secara berasingan, pastikan pengecas itu mematuhi standard dan piawaian keselamatan. Pemasangan pula, pastikan syarikat yang berdaftar dan bertauliah memeriksa pendawaian, termasuk saiz kabel MCB sebelum ia dilakukan," katanya.

Nor Hisham berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian Hub Kemahiran Kebombaan di di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, proses mengecas biasanya selama tujuh hingga lapan jam secara berterusan. Justeru, risiko kebakaran akibat masalah elektrik tetap ada.

"Berdasarkan rekod tiga tahun lepas, kira-kira 25 kes kebakaran melibatkan EV daripada empat kategori direkodkan JBPM, namun jumlah itu tidak menunjukkan peningkatan mendadak dari tahun ke tahun," katanya.

Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan jumlah EV di jalan raya memerlukan kajian lanjut bagi menentukan kadar kejadian berbanding jumlah keseluruhan kenderaan elektrik yang digunakan.

"Antara hipotesis yang sedang diteliti ialah kemungkinan kebakaran berpunca daripada kenderaan itu sendiri, pengecas, stesen pengecas atau pendawaian yang menghubungkan sistem berkenaan," katanya.

Mengulas mengenai kebakaran sebuah kenderaan EV di Cheras Ahad lalu, beliau berkata ia masih dalam siasatan dan JBPM belum membuat kesimpulan bahawa kejadian itu berpunca daripada kenderaan berkenaan.

Sementara itu, Nor Hisham berkata JBPM kini menggunakan pendekatan latihan praktikal terhadap pesertaHub Kemahiran Kebombaan bagi melahirkan individu yang mampu menjadi ‘force multiplier’ kepada pasukan bomba ketika kecemasan.

Beliau berkata program itu merupakan kolaborasi JBPM dengan Human Resources Development Corporation (HRD Corp), antara lain bagi membantu operator bangunan menyediakan Pengurus Keselamatan Kebakaran (Fire Safety Manager) dan Pegawai Keselamatan Kebakaran (Fire Safety Officer) di bangunan yang digazetkan di bawah perakuan bomba.

Majlis hari ini adalah bagi operator bangunan di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya dengan 1,793 peserta.