Malaysia, Indonesia sedia kongsi ruang udara dan aset tangani jerebu - Arthur

Iklan
Arthur Joseph

KOTA KINABALU - Malaysia dan Indonesia bersetuju memperkukuh kerjasama bagi menangani risiko jerebu rentas sempadan, termasuk meningkatkan pemantauan titik panas dan penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka susulan jangkaan keadaan cuaca lebih kering akibat fenomena El Nino.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kerjasama itu turut merangkumi kemungkinan perkongsian ruang udara dan aset sekiranya operasi pembenihan awan perlu dilaksanakan.

Iklan
Iklan

"Keadaan ini akan menyebabkan lebih banyak jerebu. Namun, kita perlu mengakui bahawa jerebu bukan masalah yang hanya dihadapi oleh sebuah negara. Ia merupakan isu serantau. Apa yang berlaku di negara-negara jiran kita turut memberi kesan kepada kita," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Tropical Forestry Conference 2026 di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, Arthur berkata beliau baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, termasuk Menteri Alam Sekitar Indonesia, dan kedua-dua pihak bersetuju meningkatkan kerjasama dalam menangani isu berkenaan.

Iklan

"Kerjasama itu meliputi pemantauan titik panas, meningkatkan penglibatan agensi penguat kuasa bagi memastikan tiada pembakaran terbuka serta perkongsian ruang udara sekiranya kita perlu menjalankan operasi pembenihan awan.

"Kita boleh berkongsi ruang udara masing-masing dan mungkin juga berkongsi aset. Jadi, itulah usaha bersepadu yang perlu kita lakukan di peringkat serantau kerana ini merupakan masalah serantau," katanya.

Iklan

Beliau berkata, usaha menangani jerebu turut akan terus dibawa ke peringkat ASEAN bagi memastikan tindakan dan penyelarasan dapat dilaksanakan secara serantau.

"Baru-baru ini kita mengadakan mesyuarat ASEAN dan saya membawa perkara ini ke peringkat ASEAN. Saya juga membawa Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk memperkenalkan satu sistem yang membolehkan kita membantu memantau kualiti udara di seluruh rantau ini.

"Negara-negara lain, iaitu rakan kita di rantau ini, turut menggunakan sistem yang sama. Ini menunjukkan bahawa jabatan kita merupakan antara jabatan yang terkehadapan dalam perkara ini," katanya.