KPM rancang satu padang kompleks sukan bagi setiap zon

Iklan
Dr Mohd Azam (empat dari kiri) memotong riben penyerahan bas kepada SMKA Naim Lilbanat. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Kementerian Pendidikan (KPM) merancang menyediakan satu padang lengkap sebagai kompleks sukan bagi setiap zon untuk dikongsi sekolah-sekolah sekitar terutama di kawasan bandar yang berdepan kekangan tanah.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, langkah itu dilihat lebih praktikal berikutan keperluan menambah bangunan atau membina bangunan baharu di sekolah yang menyebabkan ruang untuk menyediakan padang semakin terhad.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kemudahan padang itu penting bagi memastikan murid terus mempunyai ruang untuk membangunkan potensi dalam bidang sukan dan permainan walaupun sekolah masing-masing tidak mempunyai padang yang mencukupi.

“Antara perancangan yang kita sudah fikirkan ialah ada satu padang yang lengkap sebagai kompleks sukan.

Iklan

“Padang ini boleh digunakan sama oleh sekolah-sekolah sekitar untuk memastikan anak-anak pelajar terus membangunkan potensi mereka dalam bidang sukan dan permainan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan bas sekolah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat di sini pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, keadaan berbeza di kawasan luar bandar yang lazimnya masih mempunyai kawasan lapang, namun padang menjadi isu bagi sekolah di kawasan bandar dan berpenduduk padat.

“Dulu kawasan mungkin banyak, tetapi di sekolah-sekolah di kawasan bandar, di kawasan padat penduduk, padang itu menjadi satu isu.

“Apabila ada keperluan kami tambah bangunan ataupun bina bangunan baharu, mungkin kami terpaksa korban padang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azam berkata, KPM turut melihat keperluan menyediakan dewan terbuka di sekolah yang tidak mempunyai padang sebagai alternatif bagi membolehkan aktiviti sukan, permainan dan kokurikulum dijalankan.

“KPM akan memastikan murid mendapat kemudahan yang sesuai untuk menjalankan aktiviti pembelajaran dan kokurikulum,” katanya.