KOTA TINGGI - Seorang lelaki di daerah ini kerugian RM100,000 akibat terperdaya dengan pakej pelaburan serendah RM350 dan dijanjikan akan menerima pulangan dalam tempoh 24 jam sebanyak RM50,000.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun diperdayakan selepas tertarik dengan iklan skim pelaburan pada 1 Julai lalu.
“Pelaburan dikenali Centralize itu diperkenalkan kepadanya daripada individu warga Indonesia menerusi Whatsapp.
“Mangsa yang berminat kemudian melakukan dua transaksi pemindahan wang ke dua akaun penerima berbeza,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Menurut Yusof, mangsa kemudian melakukan pembayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan pelaburan bernilai RM100,000.
Beliau berkata, bayaran itu bagi mendapatkan pulangan keuntungan pelaburan yang disekat menerusi applikasi Centralize.
“Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila tidak menerima pulangan hasil pelaburan seperti yang dijanjikan selepas membuat beberapa pembayaran,” katanya.
Lelaki itu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada Isnin mendakwa diperdaya pelaburan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.