Simpan RM500 sebulan demi impian anak ke sekolah berasrama penuh

Iklan
Ada ibu bapa tidak kisah mengeluarkan ratusan ringgit, asalkan anak mendapat persediaan terbaik untuk merebut tempat di SBP. Gambar kecil dari kiri: Nurul Iliani, Sharifah Aquilla dan Wan Rafidah

SHAH ALAM - Tidak kisah mengeluarkan ratusan ringgit, asalkan anak mendapat persediaan terbaik untuk merebut tempat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Itu dilakukan seorang pekerja swasta, Nurul Iliani Ahmad, 41, yang memperuntukkan kira-kira RM500 sebulan untuk anak sulungnya, Keisha Khadeeja Muhamad Khusairi, 12, mengikuti kelas persediaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan seminar kecemerlangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, persediaan dilakukan lebih awal kerana Keisha Khadeeja sendiri menyimpan hasrat melanjutkan pengajian ke SBP.

Permohonan kemasukan ke Sekolah Khusus dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi sesi tahun depan dibuka kepada murid Tingkatan 1, Tingkatan 4 dan Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) mulai 10 Julai hingga Jumaat lalu.

Iklan

Semakan pusat PKSK pula dibuka dari 11 September hingga 22 Oktober depan.

PKSK Tingkatan 4 dijadualkan berlangsung dari 21 September hingga 1 Oktober depan, manakala bagi calon Tingkatan 1 pula dari 12 hingga 22 Oktober depan.

Iklan

Nurul Iliani berkata, persediaan anaknya tidak hanya tertumpu kepada akademik, sebaliknya turut memberi pendedahan mengenai kehidupan di sekolah berasrama dan perancangan masa depan.

Nurul Iliani yang menetap di Damansara berkata, kekangan masa menyebabkan dia memilih kelas secara dalam talian, selain menghantar anak menyertai seminar secara fizikal apabila berkesempatan.

"Saya sendiri pernah bersekolah asrama, tetapi zaman sudah berubah lebih 20 tahun, Jika dulu tiada PKSK dan sekarang kaedah kemasukannya berbeza, sebab itu saya rasa anak perlu didedahkan dengan persediaan sesuai,” ujarnya.

Bagi Sharifah Aquilla Alhabshi, 42, pula berkata, anak keduanya, Lamisa Al Abqurah, 12, mula didedahkan dengan soalan PKSK sejak awal selepas melihat pengalaman abangnya yang terlebih dahulu berjaya mendapat tempat di Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Putrajaya.

Katanya, besar harapannya untuk melihat anak kedua daripada empat beradik itu dapat mengikuti jejak abangnya bersekolah asrama penuh.

Sementara itu, Pengasas Fly High Education Centre, Wan Rafidah Wan Ali berkata, semakin ramai ibu bapa kini sanggup mengeluarkan wang lebih untuk persediaan PKSK sebagai pelaburan demi masa depan anak.

Jelas beliau, peningkatan persaingan merebut tempat di sekolah khusus seperti SBP, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) menyebabkan ibu bapa semakin serius menyediakan anak menghadapi PKSK.

Menurutnya, ibu bapa bukan sahaja mula membuat persediaan lebih awal, malah sanggup mendapatkan pelbagai bentuk bimbingan bagi memastikan anak mempunyai persediaan secukupnya.

"Bila persaingan semakin tinggi, mereka sanggup melabur lebih untuk memastikan anak mendapat bimbingan dan persediaan yang betul,” katanya.

Wan Rafidah berkata, berdasarkan pemerhatiannya, ibu bapa kini mula mencari kelas persediaan PKSK lebih awal dengan permintaan biasanya meningkat sekitar tiga bulan sebelum permohonan dibuka.

"Kalau dulu mungkin ada yang tunggu nak peperiksaan baru mula, sekarang ibu bapa sudah bertindak lebih awal," jelas beliau.

Bagaimanapun, ujar beliau, jumlah wang yang dibelanjakan bukan ukuran utama kejayaan seseorang calon kerana usaha dan konsistensi anak turut memainkan peranan penting.

"Bagi saya bukan soal berapa banyak kita belanja tetapi paling penting anak itu sendiri kena konsisten dan berusaha, manakala ibu bapa pula perlu beri sokongan.

"PKSK bukan saja melatih anak menghadapi peperiksaan itu sahaja, tetapi sebagai persediaan untuk fasa sekolah menengah yang tentunya lebih mencabar," jelasnya.

Mengulas persaingan mendapatkan tempat di sekolah khusus, Wan Rafidah berkata, jumlah calon yang mempunyai pencapaian akademik baik semakin ramai menyebabkan calon perlu menguasai kemahiran lain yang dinilai menerusi PKSK.

Katanya, kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin seseorang calon mudah menguasai PKSK kerana penilaian itu turut menguji kemahiran berfikir dan soalan berunsurkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

"Anak mungkin bagus akademik, tetapi kalau tidak biasa dengan bentuk soalan PKSK, tetap boleh menjadi satu cabaran.

"Antara kelemahan biasa yang saya lihat ialah konsistensi kerana ada anak yang pandai dan cepat tangkap, tetapi tidak konsisten membuat latihan,” katanya.