KOTA KINABALU - Seramai 22 prospek bekas penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu menerima Kit Mekar Dinamik@Wanita Bangkit Bersasar sebagai persediaan untuk membina sumber pendapatan dan memulakan kehidupan yang lebih berdikari selepas kembali ke komuniti.
Program yang dilaksanakan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Jabatan Penjara Malaysia itu memberi peluang kedua kepada wanita terbabit untuk membina semula kehidupan menerusi pendekatan berstruktur merangkumi tiga fasa utama iaitu transisi, transformasi dan integrasi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pendekatan berstruktur itu memberi tumpuan kepada sokongan emosi, pembangunan kendiri serta kemahiran yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan.
"Melalui Mekar Dinamik, kita bukan sekadar memberikan bantuan, tetapi menyediakan kemahiran, sokongan dan peralatan yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan apabila mereka kembali ke dalam masyarakat.
"Kita mahu mereka keluar dengan keyakinan bahawa mereka mempunyai kemahiran dan peluang untuk berdikari.
"Sebab itu sokongan yang diberikan perlu membawa mereka daripada proses pemulihan kepada pemerkasaan dan akhirnya mampu menjana pendapatan sendiri," katanya selepas menyempurkan majlis penyerahan kit pada Sabtu.
Bagi kumpulan terbaharu di Sabah, antara kit yang diserahkan ialah Set Bakeri, Set Jahitan, Set Sejuk Beku dan Set Refleksologi yang disesuaikan dengan kemahiran serta bidang yang diceburi peserta.
Pelaksanaan program turut diperkukuh melalui Anjung WBB YKN@Rumah Perantaraan Kota Kinabalu yang menyediakan ruang bagi pelaksanaan aktiviti pemerkasaan termasuk pembuatan pastri dan kuih-muih, kerepek dan biskut, penghasilan kraftangan manik dan mutiara, jahitan dan ubah suai pakaian, bantuan Kit Dinamik serta kemudahan rumah transit sementara.
Bagi tempoh 2024 hingga 2026, seramai 3,584 penerima manfaat telah direkodkan menerusi pelaksanaan Program Mekar Dinamik @ Wanita Bangkit Bersasar dan aktiviti berkaitan yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia.
Pada majlis itu, Nancy turut meninjau perkhidmatan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Bergerak, Rilex Kafe Mekar Dinamik WBB dan tapak Pusat Latihan Kemahiran Mekar Dinamik Zon Sabah di Kompleks Penjara Negeri Sabah sebagai sebahagian usaha memperkukuh pelaksanaan latihan kemahiran dan pemerkasaan peserta.