Buku 'karya' tiga tahun anak hilang, bapa tak sangka hantaran TikTok viral

Iklan
Fateh Arsyad gembira selepas menemui semula buka kegemarannya.

SEREMBAN - “Saya tak sangka boleh viral sampai macam ini."

Demikian kata seorang bapa, Fathullah Farid Zakaria, 39, yang terkejut apabila hantaran di TikTok mengenai kehilangan buku 'istimewa' milik anaknya menarik perhatian luar biasa.

Iklan
Iklan

Menurut Fathullah Farid, naskhah tersebut bagaikan nyawa anaknya yang sudah menyimpan hasil karya dan imaginasi menerusi lukisan yang dicoretkan selama tiga tahun.

Kehilangan buku itu menyebabkan Fateh Arsyad Fathullah Farid, 10, murung dan lebih banyak berdiam diri.

Iklan

Kongsi Fathullah Farid berkata, buku berkenaan asalnya ialah diari yang diperoleh selepas membeli pendingin hawa sebelum anak sulungnya menjadikannya sebagai buku komik.

"Kejadian berlaku selepas kami sekeluarga pulang dari KPJ Seremban kerana isteri perlu menjalani pembedahan membuang batu karang," ceritanya.

Iklan

Bapa kepada tiga anak itu berkata, ketika berada di lobi hospital, Fateh dikatakan sedang bermain bola dengan kanak-kanak lain manakala dia pula pergi mengambil kereta di parkir.

“Sampai di rumah kira-kira jam 5 petang dan ketika itu dia mula mencari bukunya di merata tempat,” katanya kepada Sinar Harian.

Fathullah Farid memberitahu, melihat keadaan anaknya yang murung, dia dan isteri pada awalnya memberi ruang kepada Fateh untuk menyedari kesilapan sebelum memujuk supaya bertenang selain memintanya mengingati semula lokasi terakhir buku itu.

"Pada malam kejadian, isterinya mencadangkan supaya mereka bertanya kepada pihak hospital.

"Saya hubungi pihak KPJ Seremban dan mendapat khabar gembira apabila dimaklumkan bahawa buku berkenaan telah ditemui dan disimpan pihak keselamatan.

“Selepas jumpa buku itu, Fateh berbunga-bunga gembira," ujarnya.

Fathullah Farid menjelaskan, minat Fateh terhadap buku tersebut berkait rapat dengan kecenderungannya dalam bidang lukisan dan sains sejak kecil.

Katanya, Fateh mempunyai minat mendalam terhadap planet dan alam semesta.

“Dia sangat minat tentang sains. Waktu kecil, dia boleh tengok dokumentari tentang tornado dan gunung berapi ketika anak lain menonton kartun malah mampu mengingati pelbagai info tentang planet.

"Saya tidak banyak memberi tunjuk ajar tentang lukisan tapi cuma menceritakan kejayaan saya ketika muda dan dia jadikan aspirasi untuk melukis," kongsinya.