LONDON - Keghairahan menghasilkan kandungan menarik untuk media sosial mengundang padah apabila sekurang-kurangnya tiga pempengaruh dilaporkan digigit jerung dalam tempoh kurang setahun.
Menurut laporan The Telegraph, pakar semakin bimbang dengan peningkatan video di media sosial yang memaparkan individu berenang terlalu dekat, menyentuh malah berpaut pada jerung demi mendapatkan rakaman menarik.
Penyelidik International Shark Attack File (ISAF), yang memantau interaksi manusia dengan jerung di seluruh dunia, turut mengesan peningkatan kes individu digigit ketika cuba merakam haiwan tersebut sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Kajian mengenai aktiviti berenang bersama hidupan liar juga mendapati pempengaruh dan jurugambar antara kumpulan yang paling cenderung mengabaikan arahan keselamatan.
Antara mangsa ialah peguam dan personaliti media sosial Brazil, Tayane Dalazen, 37, yang diserang ketika menyertai aktiviti menyelam bersama jerung di perairan negara itu pada April lalu.
Seekor jerung Nurse atau nama saintifiknya Ginglymostoma cirratum sepanjang kira-kira 2.1 meter menggigit pahanya dan menahannya selama beberapa saat sebelum melepaskannya.
Dalazen mengalami luka pada kaki dan mengakui berada terlalu dekat dengan haiwan berkenaan ketika kejadian.
Rakaman insiden itu kemudiannya dikongsikan dalam talian dan meraih puluhan juta tontonan.
Dalam kejadian lain pada Disember lalu, seorang pencipta kandungan dari China dilaporkan digigit jerung di Maldives, manakala seorang pempengaruh aktiviti memancing hampir kehilangan kakinya selepas diserang jerung terumbu ketika melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan lembing pada Julai.
Pakar jerung dan ahli biologi marin, Kristian Parton memberi amaran trend mendekati haiwan pemangsa berkenaan boleh mengakibatkan kejadian lebih serius.
Menurutnya, jerung merupakan haiwan liar dan tindakan mendekati atau mengganggunya, terutama di kawasan pembiakan serta tempat mencari makanan, boleh menyebabkan haiwan itu mengalami tekanan dan bertindak mempertahankan diri.
Walaupun jumlah serangan jerung tanpa provokasi di seluruh dunia kekal sekitar 70 kes setahun sejak tiga dekad lalu, pakar bimbang budaya mengejar rakaman sensasi untuk media sosial boleh meningkatkan risiko serangan yang sebenarnya boleh dielakkan. - Agensi