HKHM 2026: JaPen serah kit Jalur Gemilang, galak semangat patriotisme

Iklan
Wan Saidatul Shafina (empat dari kanan) bersama pengurusan Karangkraf dan warga kerja JaPen selepas mengadakan kunjungan hormat ke Karangkraf.

SHAH ALAM - Penyerahan kit Jalur Gemilang kepada kementerian dan jabatan termasuk lapan agensi media menerusi kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang antara usaha Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dalam menyemarakkan lagi semangat patriotisme sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.

Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) JaPen, Wan Saidatul Shafina Mohd Amin berkata, sambutan hari kebangsaan tahun ini dijangka lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya disebabkan pengisian program sisipan HKHM 2026 cukup menarik perhatian orang awam.

Iklan
Iklan

Antaranya menurut beliau, Kembara Merdeka Jalur Gemilang X JAGO di setiap negeri, Jiwa Komuniti Madani HKHM 2026 membabitkan 18,78 komuniti Madani, Pentarama Kelab Malaysiaku, Singgah Media Merdeka dan Pertandingan Foto Jurnalisme Lensa Malaysia.

Tambahnya, kali ini HKHM menawarkan kelainan apabila julung kalinya diadakan pertunjukan aksi aerobatik pesawat dinamakan 'Melukis Senja' dengan memeriahkan ruang udara Putrajaya selama 10 minit pada 30 Ogos jam 7 petang.

Iklan

"Ia antara program yang dilaksanakan bersama rakan strategik di Monumen Alaf Baru Putrajaya.

"Jadi, ini usaha kami untuk menyantuni media terutamanya Karangkraf dan Sinar Harian kerana mereka mempunyai ekosistem cetak dan portal digital yang boleh membantu generasi masa kini menyebarkan kesedaran patriotik dan menzahirkan rasa cinta kepada tanah air," katanya.

Iklan

Mohd Haizul ketika membentangkan pengisian program sepanjang bulan kebangsaan HKHM 2026 di Auditorium Karangkraf pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika mengadakan kunjungan hormat Singgah Media Merdeka ke Karangkraf, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JaPen, Mohd Haizul Hod bersama pegawai-pegawai JaPen.

Sinar Harian merupakan antara agensi media yang tersenarai dalam jadual destinasi lawatan Singgah Media Merdeka selain Astro, Makkal Osai, Sin Chew Daily, TV Alhijrah, Sarawak Media Group (SMG), Media Mulia dan Media Prima.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Julai lalu merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 bertempat di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS) Ipoh, Perak.

Sempena majlis tersebut, lagu tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 bertajuk Aku Berjanji nyanyian Faizal Tahir, diperdengarkan buat julung-julung kalinya kepada orang ramai.

Aku Berjanji membawa mesej kebersamaan, perpaduan dan semangat cinta akan negara dalam usaha mempertahankan kedaulatan tanah air.

Wan Saidatul Shafina memaklumkan, JaPen di bawah Kementerian Komunikasi turut memiliki portal media 360 yang menghimpunkan maklumat berkaitan kolaborasi jabatan tersebut dengan rakan strategik sepanjang bulan kebangsaan.

"Pada minggu lepas, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan JaPen memperoleh tajaan sebanyak RM48.63 juta daripada 139 rakan strategik untuk mengedarkan bahan kempen dan penganjuran program bulan kebangsaan tahun ini," ujarnya.