PASIR PUTEH - UMNO menegaskan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan akan dikekalkan sehingga akhir penggal bagi memastikan kestabilan politik dan pentadbiran negara tidak tergugat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Menurut beliau, tindakan UMNO menarik diri daripada kerajaan berpotensi mencetuskan ketidakstabilan sekiranya diikuti parti-parti lain, khususnya dari Sabah dan Sarawak.
Ujarnya, UMNO ketika ini mempunyai kira-kira 30 kerusi Parlimen dan meskipun kerajaan masih mempunyai majoriti sekiranya parti itu keluar, keadaan boleh berubah sekiranya terdapat wakil rakyat atau parti lain turut mengambil langkah sama.
"Kalau kami keluar, kerajaan ini jatuh. Walaupun kami 30 kerusi, sekarang kerusi kerajaan 150. Kalau tolak 30, masih ada 120.
"Tetapi kalau kami keluar, mungkin ada orang lain lagi yang keluar. Mungkin ada daripada Sabah, daripada Sarawak mengikut jejak langkah kami.
Sebelum itu beliau hadir pada Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Kolej Matrikulasi Kelantan yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Ahmad memberitahu, pendirian itu selari dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berulang kali menegaskan parti berkenaan akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Ujarnya, pendirian tersebut turut dinyatakan semula dalam taklimat tertutup kepada ahli Parlimen baru-baru ini.
"Saya hanya ingin mengulangi kenyataan Presiden dalam taklimat tertutup baru-baru ini bahawa kita menyokong kerajaan ini hingga akhir penggal.
"Oleh itu, saya harap rakan-rakan di PKR melihat perkara ini. Kalau UMNO keluar, kerajaan tidak stabil. Walaupun masih boleh bertahan, tetapi kalau ada daripada Sabah dan Sarawak yang keluar, kerajaan boleh jatuh," katanya.
Menurut beliau, kestabilan Kerajaan Perpaduan penting bagi membolehkan kerajaan terus bergerak dan melaksanakan agenda untuk manfaat rakyat sehingga tamat penggal.
Dalam perkembangan sama, Ahmad menolak dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) membawa politik perkauman susulan kritikan yang dilemparkan terhadap parti berkenaan.
"BN bukan parti perkauman. BN ada UMNO, MCA, MIC, PBB, SUPP dan beberapa lagi parti pelbagai kaum melalui Friends of BN.
"PN (Perikatan Nasional) pun pelbagai kaum, ada Pas, Gerakan, MIPP dan Wawasan. Jadi lontaran pihak dalam Kerajaan Perpaduan bahawa kami membawa politik perkauman tidak tepat.
"Mereka membuat naratif yang tidak tepat. Kami bukan parti perkauman," katanya.
Beliau berkata, naratif sedemikian yang diulang berkali-kali boleh mempengaruhi persepsi rakyat terhadap BN, sedangkan parti gabungan itu terdiri daripada pelbagai kaum dan parti.
"Saya rasa silaplah naratif itu. Apabila diulang-ulang, rakyat akan membuat keputusan bahawa apa yang mereka sebut itu tidak benar," katanya.