SHAH ALAM - Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi penyiar rasmi Malaysia #QuranHour 2026 yang bakal berlangsung pada 30 Ogos ini.
Penolong Pengarah Unit Drama TV RTM, Rulhaizal Abd Rahmat berkata, RTM berperanan untuk memvisualkan program tersebut yang berlangsung di Masjid Sultan Abdullah, Menara 118 untuk disiarkan kepada penonton menerusi pelbagai platform.
Menurutnya, penglibatan RTM dalam program berkenaan merupakan sebahagian daripada sumbangan pihaknya bagi memastikan Malaysia #QuranHour 2026 dapat disampaikan kepada masyarakat.
"Kerjasama itu mencerminkan komitmen RTM dalam melaksanakan tanggungjawab sosial menerusi peranan media sebagai platform menyebarkan mesej dan nilai murni kepada masyarakat.
“Tugas kita adalah untuk memvisualkan acara yang berlangsung supaya visual ini dapat ditonton oleh penonton melalui platform TV ataupun penstriman langsung di RTM Klik.
“Kita juga akan buat siaran langsung di TikTok, YouTube dan Facebook. Maknanya, visual yang kita rakam boleh ditonton di mana-mana supaya rakyat dapat menghayati dan merasakan kempen Malaysia #QuranHour ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada Majlis Taklimat Sinergi Media Sempena Malaysia #QuranHour 2026 di Kompleks Karangkraf di sini, hari ini.
Malaysia #QuranHour 2026 yang akan diadakan di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118 pada 30 Ogos ini bertemakan 'Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera'.
Program anjuran Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) itu mengetengahkan tanda pagar #BuatKeranaAllah, #MindsetAlQuran, #BacaFahamAmal dan #OperatingSystemAlQuran
Kempen tahun ini berpandukan gandingan Surah Al-Muzzammil, Surah Al-Balad dan Surah Al-Baqarah selain mendapat kerjasama Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan 2026, Kementerian Komunikasi Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi serta Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai penaja utama.
Rulhaizal berkata, kerjasama antara WUIF dan RTM dapat membantu memperluaskan capaian kempen berkenaan kepada masyarakat di seluruh negara.
Jelasnnya, pihak penganjur berperanan merancang dan melaksanakan program manakala RTM pula bertanggungjawab memvisualkan acara tersebut sebagai medium untuk tontonan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berpendapat Malaysia #QuranHour sebagai kempen yang menggalakkan umat Islam meluangkan sekurang-kurangnya satu jam untuk membaca dan mendekatkan diri dengan al-Quran.
“Kita ada 365 hari dan mungkin kita tidak ada kemampuan untuk membaca al-Quran setiap hari. Tetapi dalam tempoh satu jam ini, kita dapat memberi tumpuan dan fokus kepada membaca al-Quran.
“Sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun, walaupun kita terlalu sibuk, kita masih dapat meluangkan masa satu jam untuk mendekatkan diri dengan al-Quran,” ulasnya.