SHAH ALAM – Media di Malaysia diharap dapat kembali bergabung tenaga secara serentak dalam menjayakan Malaysia #QuranHour 2026 bagi mewujudkan impak lebih besar terhadap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memahami al-Quran.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kekuatan media mampu memperbesarkan gelombang sesuatu kempen sekiranya semua organisasi membawa mesej yang sama pada masa sama.
Menurut beliau, pendekatan itu pernah berlaku pada 2015 apabila media daripada pelbagai latar belakang turut bergabung menyebarkan mesej yang sama.
“Pada 2015, gelombang di mana-mana. Saya masih ingat hampir di seluruh Malaysia, di mana-mana saja ada orang berinteraksi dengan al-Quran. Saya melihat perkara itu sebagai satu kehilangan kerana sejak kebelakangan ini kempen yang dibawa media agak perlahan.
"Jadi, saya berharap kali ini media dapat bersama-sama turut serta berkempen untuk Malaysia #QuranHour 2026.
"Cuba bayangkan kalau seluruh media di Malaysia ini dalam masa yang sama, kempen benda yang sama, kesannya akan berbeza. Jadi ini yang cuba kami nak hasilkan," ujarnya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada Majlis Taklimat Sinergi Media Sempena Malaysia #QuranHour 2026 di Kompleks Karangkraf di sini, hari ini.
Malaysia #QuranHour 2026 yang akan diadakan di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118 pada 30 Ogos ini bertemakan 'Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera'.
Program anjuran Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) itu mengetengahkan hastag #BuatKeranaAllah, #MindsetAlQuran, #BacaFahamAmal dan #OperatingSystemAlQuran
Kempen tahun ini berpandukan gandingan Surah Al-Muzzammil, Surah Al-Balad dan Surah Al-Baqarah selain mendapat kerjasama Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan 2026, Kementerian Komunikasi Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi serta Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai penaja utama.
Tambah Hussamuddin, usaha memahami al-Quran penting dalam membentuk umat Islam yang lebih baik, selain membantu masyarakat bukan Islam mendapatkan gambaran tepat mengenai Islam.
Jelasnya, persepsi terhadap Islam yang dianggap menakutkan oleh sesetengah pihak berpunca daripada kurangnya kefahaman mengenai agama tersebut.
“Untuk membentuk masyarakat Islam yang lebih baik, kita perlu memastikan umat Islam memahami agama dan untuk memahami agama, mereka perlu memahami al-Quran.
"Apabila al-Quran difahami dan diamalkan dalam kehidupan, insyaALLAH seseorang itu akan menjadi muslim yang lebih baik,"ulasnya.
Dalam pada itu, Hussamuddin berharap sokongan media dapat membantu mengalihkan perhatian masyarakat kepada kandungan yang lebih membina, terutama ketika media sosial kini dipenuhi pelbagai bentuk kandungan.