SHAH ALAM - Sebarang rundingan antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu berlandaskan prinsip keikhlasan, kesamarataan dan tidak didominasi mana-mana parti.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, formula yang digunakan di Negeri Sembilan boleh dijadikan asas dalam rundingan antara kedua-dua gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
"Dalam prinsip kerjasama antara parti, ia merentasi perbincangan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen kerana ia boleh juga membabitkan pertukaran kerusi di peringkat negeri.
"Sebarang rundingan perlu dilakukan atas prinsip keikhlasan dan kesamarataan bagi memastikan kerjasama yang dicapai memberikan manfaat kepada semua pihak tanpa konsep parti lebih besar mendominasi parti lain.
"Jangan kita anggap kita ada abang besar atau adik kecil," katanya memetik laporan sebuah portal dalam talian pada Isnin.
Sebelum ini, BN dilapor menyatakan hasrat mempertahankan kesemua 21 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRN terdahulu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat itu disuarakan Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang bertekad mengekalkan penguasaan BN di kerusi berkenaan.
Susulan itu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 3 Ogos lalu dilapor menegaskan, kerjasama antara parti itu dan BN seperti yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan tidak semestinya berlaku di Melaka.
Namun Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, perbincangan awal antara kedua-dua gabungan berkaitan agihan kerusi sudah dimulakan.
Dalam pada itu Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, jawatankuasa rundingan bersama sebelum ini berjaya menghasilkan persefahaman menguntungkan kedua-dua parti di Negeri Sembilan dan sebarang pengumuman hanya dibuat selepas persetujuan ditandatangani.
Malah menurutnya, prinsip asas kerjasama itu adalah merujuk kepada penyandang dengan kerusi DUN dan Parlimen sedia ada dikekalkan kepada penyandang.
"Untuk PRN Melaka, kita masih terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak atas dasar penyatuan ummah.
"Jangan ada pihak yang mengambil untung dan pihak lain pula rugi," ujarnya.