MELAKA - Polis mengesahkan kejadian pergaduhan membabitkan seorang lelaki yang ditumbuk di bahagian kepala, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan tapak perniagaan di hadapan sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, pihaknya mengesan video kejadian itu yang tular melalui Facebook kira-kira jam 8 pagi Isnin.
"Semakan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5.20 petang di lokasi berkenaan. Satu laporan polis telah dibuat pada hari sama kira-kira jam 9.17 malam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham berkaitan tapak perniagaan.
Halim berkata, pengadu yang merupakan seorang wanita berusia 35 tahun bersama suaminya berusia 47 tahun hadir ke lokasi untuk berbincang dengan pihak terlibat, namun perbincangan menjadi tegang sebelum seorang lelaki berusia 46 tahun menumbuk bahagian atas dahi suami pengadu sehingga menyebabkan berasa sakit.
"Turut berada di lokasi ialah seorang wanita berusia 45 tahun dan seorang lelaki berusia 35 tahun. Tiada sebarang kata-kata ugutan dikesan dan kedua-dua pihak kemudian beredar dari lokasi kejadian," katanya.
Halim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 160 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan provokasi dan mengeruhkan keadaan.
"Sebarang pertikaian hendaklah diselesaikan melalui saluran yang sewajarnya," katanya. - Bernama