"SAYA diibaratkan orang hampir lemas yang diselamatkan.”
Begitulah ungkapan bekas penerima zakat Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Cik Siah Awang, 52, ketika mengimbau pengalaman beliau dan keluarganya melalui detik sukar sebelum berjaya bangkit daripada kemiskinan.
Suaminya, Mohd Nizam Johari, 57, menghidap penyakit buah pinggang sejak 15 tahun lalu dan memerlukan rawatan dialisis secara berkala.
Selama tiga tahun, Cik Siah menanggung sendiri kos rawatan suaminya yang ketika itu mencecah RM5,000 sebulan.
“Dalam masa sama, saya cuba meneruskan perniagaan restoran suami. Namun disebabkan kurang ilmu, perniagaan itu tidak berjaya dan akhirnya terpaksa ditutup,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Berkorban apa saja
Keadaan menjadi semakin sukar sehingga beliau terpaksa menjual rumah dan kereta, selain terpaksa memberhentikan persekolahan anak-anak bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Dalam kesibukan mencari rezeki dan menjaga suami yang memerlukan penjagaan sepenuh masa, Cik Siah turut menjaga adik suaminya yang menghidap penyakit mental.
“Pada ketika itu, tempat dialisis pula sejauh 28 kilometer dari rumah dan suami perlu dibawa ke sana tiga kali seminggu. ALLAH sahaja yang tahu penatnya,” katanya.
Terima bantuan zakat MAIWP
Keadaan mula berubah selepas seorang jiran mencadangkan beliau mendapatkan bantuan zakat. Dengan ditemani jirannya, Cik Siah pergi ke Baitulmal dan membuat permohonan buat pertama kali.
MAIWP kemudiannya membantu membiayai rawatan dialisis suaminya sehingga ke akhir hayatnya yang meninggal dunia pada Jun lalu.
Bantuan turut meliputi keperluan perubatan seperti lampin pakai buang dan kelengkapan rawatan lain.
Selain bantuan perubatan, Cik Siah turut menerima bantuan modal perniagaan RM3,000 dan mengikuti kursus keusahawanan anjuran MAIWP.
Bermula dari rumah, beliau menjual pelbagai kuih-muih dan makanan tradisional seperti ketupat dan nasi ayam serta makanan lain secara dalam talian.
“Sedikit demi sedikit perniagaan berkembang. Saya belajar, susun semula strategi dan akhirnya berjaya mendapatkan lesen serta pensijilan berkaitan keselamatan makanan sebelum berjaya membekalkan produk kepada jabatan kerajaan,” katanya.
Lebih membanggakan, beliau kini turut dipanggil menyampaikan ceramah dan bimbingan kepada usahawan baharu di pelbagai agensi termasuk di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Mula bayar zakat
Katanya, sejak 2023, beliau mula membayar zakat pendapatan walaupun hanya RM10 sebulan. Jumlah itu meningkat sedikit demi sedikit sehingga kini mampu membayar zakat sehingga empat angka setahun.
“Walaupun penat mencari rezeki dan menjaga suami, saya percaya rezeki sentiasa cukup. Anak-anak juga banyak membantu dan memahami keadaan keluarga.
Kemiskinan bukan untuk diwarisi
Mengulas mengenai kemiskinan yang ditanggung keluarga Cik Siah itu, beliau menjelaskan, pelbagai kesusahan yang dilalui dalam kehidupan itu bukanlan sesuatu yang akan diwariskan kepada anak-anaknya.
Baginya, bantuan zakat bukan sekadar membantu memenuhi keperluan harian dan rawatan suami, bahkan turut membuka semula peluang pendidikan buat anak-anaknya.
Beliau percaya pendidikan ialah jalan paling berkesan untuk memutuskan kitaran kemiskinan.
“Anak-anak lain pula berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kolej Profesional Baitulmal dan Institut Kemahiran Baitulmal,” ujarnya.
Pesannya kepada golongan asnaf, mereka perlu bermuhasabah dan berusaha mencari jalan keluar daripada kemiskinan.
“Berusahalah bersungguh-sungguh dan bertawakallah kepada ALLAH SWT. Jangan lupa bayar zakat apabila sudah mampu. “Didik anak-anak dengan pendidikan. Ibu bapa perlu menjadi contoh kerana kemiskinan bukan untuk diwarisi,” katanya.