SEPANG – Kesemua juruterbang Malaysia Airlines (MAS) yang aktif beroperasi disahkan negatif dadah selepas selesai menjalani saringan mandatori dalam tempoh kira-kira seminggu.
Sebelum ini, Malaysia Aviation Group (MAG) memaklumkan seramai 1,260 juruterbang MAS diwajibkan menjalani saringan berkenaan susulan penahanan seorang juruterbang syarikat itu dalam kes penyeludupan dadah di Jakarta, Indonesia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, fasa pertama saringan itu selesai dilaksanakan pada Sabtu lalu sebagai sebahagian langkah memperkukuh aspek keselamatan serta tahap kecergasan dan kelayakan bertugas dalam operasi syarikat.
Menurutnya, penyelesaian fasa pertama itu merupakan pencapaian penting dalam langkah yang telah diberikan komitmen oleh syarikat.
“Keselamatan kekal menjadi teras dalam setiap keputusan yang kami buat dan kami akan terus mengambil langkah yang perlu untuk memperkukuh perlindungan, mengekalkan piawaian operasi serta memastikan keyakinan penumpang dan pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Susulan itu, MAG akan meneruskan fasa seterusnya membabitkan 2,840 kru kabin MAS yang akan menjalani saringan secara berperingkat mulai Selasa dengan sasaran selesai pada 3 September depan.
Perkembangan itu menyusuli penahanan seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun oleh pihak berkuasa Indonesia selepas didakwa cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram ekstasi (MDMA) bersama sejumlah kecil syabu ke Jakarta pada akhir Julai lalu.
Suspek ditahan selepas tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta apabila pihak berkuasa Indonesia mengesan imej mencurigakan pada bagasi kru menerusi pemeriksaan sinar-X.
Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi serta sejumlah kecil metamfetamin.
Suspek turut dilaporkan positif syabu, ekstasi dan kokain menerusi ujian air kencing, manakala siasatan awal pihak berkuasa Indonesia mendapati dia didakwa bertindak sebagai penghantar kepada sindiket dadah antarabangsa dan dijanjikan bayaran kira-kira RM50,000.
Dalam pada itu, Nasaruddin berkata, saringan turut dilaksanakan terhadap juruterbang dan kru kabin Firefly.
“Setakat 15 Ogos lalu, lebih separuh daripada 158 juruterbang dan 163 kru kabin Firefly telah menjalani saringan dengan semua keputusan ujian yang diterima setakat ini menunjukkan hasil negatif.
“Firefly dijangka melengkapkan saringan terhadap baki juruterbang dan kru kabinnya menjelang 25 Ogos ini, lebih awal daripada tarikh akhir 5 September yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya.
Beliau berkata, MAG akan terus melaksanakan program ujian rawak yang dikendalikan pasukan Keselamatan dan Kesihatan selain mempertingkat kerjasama dengan pihak berkuasa bagi mencegah serta membanteras penyalahgunaan bahan terlarang dalam organisasi.
Langkah itu melengkapi rangka kerja sedia ada MAG berkaitan kelayakan bertugas termasuk saringan sebelum pengambilan pekerja, pemeriksaan dan pensijilan perubatan, latihan berkala, ujian alkohol dan dadah, pemeriksaan pematuhan wajib sebelum penerbangan serta penilaian tahap kecergasan kru.