KOTA BHARU - Bonda saudara kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, iaitu Datuk Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra mangkat pada jam 6.10 pagi tadi, pada usianya 82 tahun.
Pengesahan kemangkatan itu dibuat melalui Pejabat Sultan Kelantan dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
"Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh Almarhumah dicucuri rahmat ALLAH SWT dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh, serta mendapat keampunan dan rahmat-Nya," menurut kenyataan itu.
Tengku Salwani yang diputerakan pada 26 Ogos 1944 merupakan puteri kepada Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan kakanda kepada Almarhum Sultan Ismail Petra.
Sementara itu, Media Pejabat Sultan Kelantan dalam kenyataan memaklumkan Festival Senjata Warisan Kelantan 2026 yang berlangsung bermula semalam hingga 5 Sept ini di Istana Balai Besar, di sini ditutup hari ini susulan kemangkatan kerabat diraja Kelantan itu.
"Segala urusan dan aktiviti festival ditangguhkan serta-merta. Kerjasama dan perhatian semua pihak berhubung perkara ini amatlah dihargai," menurut kenyataan itu.
Festival yang menampilkan pelbagai senjata tradisional, pitis dan khazanah warisan Kelantan yang sarat dengan nilai sejarah, seni serta budaya itu berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam dan kemasukan adalah percuma.
Antara tarikan utama ialah pameran khas Mahkota Kesultanan Kelantan yang dipaparkan kepada pengunjung buat julung-julung kalinya, selain pelbagai aktiviti seperti demonstrasi menenun songket, menghasilkan kain kelingkam, persembahan tradisional dan bengkel Busana Melayu Kelantan. - Bernama