Tiga laporan polis diterima, patung rumah ibadat di Bukit Tinggi dirosakkan

Iklan
Azry Akmar

BENTONG – Polis mengesahkan menerima tiga laporan berkaitan kejadian struktur patung sebuah rumah ibadat bukan Islam di Bukit Tinggi di sini yang didakwa dirosakkan pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, ketiga-tiga laporan berhubung kejadian itu dibuat pada 16 Ogos masing-masing pada jam 1.51 pagi, 2.32 pagi dan 4.35 petang.

Iklan
Iklan

"Laporan berkenaan dibuat oleh tiga lelaki iaitu seorang pengawal keselamatan berusia 49 tahun, seorang sami (45 tahun) dan seorang lagi warga berumur 41 tahun.

“Pihak polis telah ke tempat kejadian dan siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan kuil serta tiada saksi bebas yang melihat kejadian tersebut berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Azry Akmar berkata, polis memandang serius kejadian berkenaan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca serta pihak yang terlibat.

Iklan

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat, khususnya melalui media sosial, yang boleh menjejaskan siasatan atau menimbulkan kegusaran awam.

“Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini hendaklah disalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.