Sanggup belanja RM6,000 ubah suai Y15 untuk lumba haram

Iklan
Stien (kanan) menunjukkan motosikal yang diubahsuai dengan kos RM6,000 dengan tujuan perlumbaan haram dan dirampas dalam operasi khas di Jalan Gunung Keriang di Alor Setar pada Isnin.

ALOR SETAR – Seorang pekerka kilang sanggup menghabiskan wang sebanyak RM6,000 semata-mata untuk mengubah suai motosikal jenis Yamaha Y15 bagi meningkatkan prestasi dan kelajuan ketika menyertai perlumbaan haram.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, lelaki berusia 21 tahun yang bekerja di sebuah kilang itu dikatakan sanggup berbelanja besar bagi memenuhi keperluan aktiviti perlumbaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, teman wanita lelaki tersebut yang berusia 20 tahun turut terlibat dalam aktiviti perlumbaan haram berkenaan.

“Jika ia dikeluarkan daripada kenderaan, ia akan memberikan risiko bukan sahaja kepada penunggang tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Kedah, Jalan Suka Menanti di sini pada Selasa.

Iklan

Difahamkan, wanita itu dipercayai pernah terbabit sebagai joki dalam aksi lumba haram, manakala teman lelakinya akan membonceng motosikal sebelum bertukar tempat sekiranya terserempak dengan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan pasangan berkenaan terbongkar apabila mereka ditahan JPJ Kedah dalam operasi khas lumba haram di Jalan Gunung Keriang di sini pada Isnin.

Iklan

Stien berkata, seramai 29 individu berusia antara 13 hingga 23 tahun ditahan dalam operasi khas berkenaan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seorang individu ditahan ketika sedang melakukan aktiviti perlumbaan, manakala selebihnya dikesan melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen memandu dan menunggang motosikal di bawah umur.

"Sepanjang operasi itu, sebanyak 162 motosikal dan kenderaan diperiksa, dengan 110 notis serta saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang dikesan.

"Daripada jumlah tersebut, satu kes di bawah Seksyen 42A Akta Pengangkutan Jalan 1987 direkodkan membabitkan kesalahan menduga kelajuan serta melakukan aksi tunggangan berbahaya," ujarnya.

Antara aksi berbahaya yang dikenal pasti termasuk mengangkat tayar hadapan atau wheelie, aksi 'superman' serta menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di jalan raya.

Selain itu, sebanyak 14 kes membabitkan penunggang motosikal bawah umur turut dikesan, manakala sembilan kes direkodkan di bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut peraturan.

Stien turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya memainkan peranan lebih aktif dalam memantau pergerakan serta aktiviti anak-anak, khususnya golongan remaja yang menggunakan motosikal.