Evolusi perang dron

Iklan
Teknologi dron telah membawa perubahan besar dalam peperangan moden. Foto hiasan

KEMAJUAN teknologi telah membawa perubahan besar terhadap corak peperangan moden.

Jika dahulu kejayaan sesuatu operasi ketenteraan banyak bergantung kepada kekuatan anggota tentera, penggunaan kereta kebal dan keupayaan pesawat pejuang.

Iklan
Iklan

Kini, teknologi canggih mula menjadi faktor penting dalam menentukan kelebihan di medan perang.

Perkembangan ini dapat dilihat dengan jelas melalui konflik di Asia Barat dan perang berpanjangan antara Rusia dan Ukraine.

Iklan

Situasi tersebut membuktikan bahawa penggunaan dron bukan lagi sekadar sebagai alat sokongan, sebaliknya berkembang menjadi aset ketenteraan utama yang mampu mempengaruhi strategi peperangan.

Dron pada asalnya digunakan untuk tujuan pengawasan dan pengumpulan maklumat, namun kemajuan dalam bidang elektronik, sistem navigasi satelit dan kecerdasan buatan (AI) telah meningkatkan kapasitinya secara ketara.

Iklan

Dron moden berupaya untuk beroperasi dalam tempoh yang lebih lama, menghantar imej secara langsung, mengenal pasti sasaran dan melaksanakan serangan dengan tahap ketepatan yang tinggi.

Selain itu, kos penghasilan dan pengendalian dron yang lebih rendah berbanding pesawat tempur konvensional menjadikannya pilihan yang lebih praktikal serta berkesan dalam operasi ketenteraan.

Di Asia Barat, penggunaan menjadi salah satu elemen penting dalam operasi ketenteraan.

Fungsinya untuk memantau pergerakan musuh dan menyerang sasaran strategik membolehkan dron memberikan impak besar.

Peningkatan ancaman daripada penggunaan dron turut mendorong negara-negara di rantau tersebut memperkukuh sistem pertahanan udara dan membangunkan teknologi antidron bagi menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

Perang Rusia-Ukraine sejak 2022 pula menjadi contoh paling jelas tentang bagaimana dron mengubah corak perang abad ke-21.

Kedua-dua seteru itu menggunakan dron secara meluas dalam pelbagai aspek operasi ketenteraan termasuk serangan terhadap sasaran musuh.

Kecekapannya menyalurkan maklumat masa nyata membolehkan pasukan tentera membuat keputusan dan bertindak dengan lebih pantas serta tepat berbanding kaedah peperangan tradisional.

Terdapat beberapa persamaan yang ketara antara konflik di Asia Barat dan Perang Rusia-Ukraine.

Kedua-duanya membuktikan bahawa dron mampu meningkatkan keberkesanan operasi ketenteraan dengan kos yang lebih efisien, di samping menunjukkan bahawa teknologi itu boleh dimanfaatkan pelbagai pihak.

Penggunaan dron secara agresif turut menimbulkan pelbagai cabaran. Antaranya ialah risiko kehilangan nyawa orang awam akibat serangan yang tersasar, peningkatan ketegangan antara negara dan kemungkinan teknologi tersebut jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, kemajuan AI berpotensi menghasilkan dron yang lebih autonomi tanpa bergantung sepenuhnya kepada kawalan manusia.

Teknologi dron telah membawa perubahan besar dalam peperangan moden.

Penggunaannya membolehkan operasi ketenteraan dijalankan dengan kurang bergantung kepada manusia di medan perang.

Seiring dengan kemajuan teknologi, peranan dron dijangka terus berkembang dan mengubah strategi pertahanan moden pada masa depan.