RCI TH: Gerakan penerangan dapatan diperluas, libatkan ulama dan agamawan - Mujahid

Iklan
Mujahid

KUALA LUMPUR - Gerakan penerangan mengenai dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) akan diperluas ke seluruh negara bagi memastikan masyarakat memahami isu berkaitan pengurusan simpanan institusi itu secara menyeluruh.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, gerakan berkenaan akan dilaksanakan dengan penglibatan alim ulama dan agamawan yang akan membantu masyarakat memahami dapatan RCI TH melalui masjid, surau, sekolah, jabatan kerajaan, kolej, universiti serta ruang pendidikan masyarakat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, usaha itu susulan penganjuran Persidangan Khas Ulama dan Agamawan: Hifz al-Mal yang menghimpunkan lebih 100 alim ulama dan agamawan dari seluruh negara hari ini bagi bermuzakarah mengenai isu RCI TH serta amanah menjaga simpanan 9.7 juta pendeposit yang majoritinya umat Islam.

"Matlamatnya jelas fakta mesti diterangkan, amanah mesti dipertahankan dan penyelewengan terhadap harta umat tidak boleh dibiarkan berulang. Tabung Haji adalah amanah umat. Menjaganya adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Iklan

Mujahid yang juga Timbalan Presiden Amanah berkata, persidangan yang berlangsung di sebuah hotel di sini digerakkan Sekretariat Ulama Malaysia bersama Mursyid al-’Am Majlis Ulama Malaysia Abdul Rahim Abdul Rahman. 

"Gabungan kepakaran ini membolehkan isu RCI TH dibincangkan secara lebih menyeluruh, merangkumi aspek agama, kewangan, ekonomi, perakaunan, perundangan, tadbir urus serta amanah dalam menjaga harta umat,” katanya.

Iklan

Antara pengisian utama ialah sesi ‘Merungkai RCI Tabung Haji’ yang membincangkan dapatan berkaitan RCI dari sudut profesional, diikuti sesi ‘RCI Tabung Haji Kebangkitan Ummah dan Ulama’ yang memberi tumpuan kepada peranan agamawan serta masyarakat dalam memahami dan mempertahankan amanah umat.

Mujahid berkata, prinsip Hifz al-Mal, iaitu menjaga dan melindungi harta, menjadi asas persidangan berkenaan, khususnya dalam konteks TH yang menguruskan simpanan jutaan umat Islam bagi tujuan menunaikan ibadah haji. - Bernama