KUANTAN - Saranan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan untuk menggantikan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan individu lain satu cadangan mengarut.
Timbalan Ketua UMNO Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim berkata, cadangan dilontarkan seorang perwakilan dalam Kongres Nasional Keadilan 2026 itu hanya membuka ruang kepada permusuhan politik.
Menurutnya, perwakilan berkenaan sepatutnya mencadangkan PKR membuat bedah siasat dan kajian punca parti itu ditolak oleh rakyat.
Wakil dari Negeri Sembilan, Mohd Shariman Che Deris sebelum ini menyarankan Perdana Menteri mempertimbangkan untuk menggantikan Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA dengan individu lain memandangkan pemimpin UMNO itu terlibat dalam konflik berkaitan Suruhanjaya Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).
Saranan itu dilontarkan ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Ayer Keroh, Melaka pada Sabtu.
Muhammad Faiz berkata, sebagai Pengerusi MARA, Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO telah melaksanakan pelbagai perubahan sepanjang menerajui MARA dan prestasinya turut mendapat penerimaan baik dalam kalangan pelajar.
“Beliau telah buat yang terbaik di MARA dan melakukan pelbagai perubahan. Sehinggakan hari ini anak-anak pelajar MARA sendiri menyukai beliau dan memanggilnya ‘Daddy MARA’.
“Itu tidak nampak lagi ke?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan pemimpin UMNO seperti Asyraf Wajdi penting dalam memastikan kelangsungan Kerajaan Madani.
“Kalau tidak ada pemimpin UMNO seperti beliau, sudah lama Kerajaan Madani berlayar, Cukup-cukuplah,” katanya.
Sehubungan itu, Muhammad Faiz menggesa Mohd Shariman supaya melakukan muhasabah diri sebelum mengemukakan sebarang cadangan berkaitan pemimpin UMNO.
“Cadangan saya, orang seperti perwakilan Shariman ini duduk depan cermin. Sila cermin diri sendiri dan muhasabah diri baik-baik. Itu yang lebih baik,” katanya.