KUALA LUMPUR - Tiga lelaki diberkas dalam kes ugutan dan pukul berkaitan aktiviti mengutip wang parkir secara haram bersebelahan Dewan Komuniti OUG di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 2.38 petang daripada seorang wanita tempatan berusia 38 tahun.
Menurutnya, semasa pengadu berada di kawasan tersebut, suspek telah memarahinya dengan kata-kata kesat sebelum menumbuk bahagian kepala pengadu.
"Pengadu turut diugut akan dipukul selain suspek akan membuat kacau di tempat kerjanya.
"Pihak polis telah berjaya menangkap tiga lelaki tempatan berumur antara 20 hingga 26 tahun," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Tegasnya, suspek pertama direman selama tiga hari sehingga 18 Ogos, manakala dua lagi direman sehari untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Jelas Fadil, Polis Kuala Lumpur akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang bagi memelihara keselamatan dan ketenteraman masyarakat.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh menyalurkan maklumat atau menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," ujarnya.
Sebelum itu, insiden terbabit telah dimuat naik oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menerusi aplikasi TikTok yang memaparkan kejadian pukul tersebut.