PUTRAJAYA - DAP mengakui berhadapan cabaran besar untuk melepasi tembok politik perkauman sekali gus mendapatkan sokongan pengundi Melayu di negara ini.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, cabaran itu jelas diterjemahkan menerusi undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan apabila beliau sendiri gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.
"Saya memohon maaf kepada para perwakilan atas kekalahan di DUN Chennah kerana harapan yang paling besar saya dalam pilihan raya negeri itu adalah untuk membuktikan bahawa DAP boleh mendapat sokongan daripada pengundi pelbagai kaum.
"Ini satu cabaran besar kepada parti DAP bagaimana kita nak menebusi tembok ini supaya perjalanan politik kita ini boleh pergi lebih jauh," katanya ketika memberi ucapan dasar pada Persidangan DAP Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.
Anthony berkata, kekalahan dalam siri PRN sebelum ini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada parti itu untuk bergerak ke hadapan.
"Dalam pilihan raya ada menang, ada kalah dan kita sudah ada pengalaman pilihan raya selama 60 tahun dengan menghadapi banyak kekalahan pada awal perjuangan kita tetapi kita tidak berputus asa.
"Dan saya meminta kepada para perwakilan, kepada semua aktivis parti supaya menjadi satu pedoman kepada kita, selagi tidak berputus asa, masa depan DAP akan diterima oleh majoriti rakyat.
"Ini yang paling penting untuk kita laksanakan, kita tidak boleh berputus asa dalam impian kita untuk menjadi satu parti berbilang kaum yang diterima oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya lagi.