Aminuddin mohon maaf kalah di Negeri Sembilan, akur keputusan parti

Iklan
Aminuddin ketika berucap di Kongres Nasional Keadilan di Melaka

AYER KEROH - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat(PKR), Datuk Seri Aminuddin Harun bersedia menerima dengan hati terbuka keputusan parti berhubung kedudukannya sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat(PKR) Negeri Sembilan.

Beliau mengambil maklum tuntutan enam Ketua Cabang negeri terbabit yang mahu beliau mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan Pakatan Harapan(PH) pada Pilihan Raya Negeri(PRN) Negeri Sembilan lalu.

Iklan
Iklan

"Saya ingin menyatakan dengan terbuka bahawa saya bersetuju dengan tuntutan tersebut. Saya menerima tanggungjawab itu.

"Saya memimpin, maka saya bersedia untuk bertanggungjawab. Saya tidak mahu lari daripada tanggungjawab dan saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa,"katanya dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional Keadilan 2026 di sini pada Ahad.

Iklan

Jelasnya, rakyat Negeri Sembilan telah membuat keputusan dalam PRN yang baru berlangsung dan keputusan itu perlu diterima sebagai terjemahan suara rakyat terhadap parti.

Menurutnya, pelbagai faktor yang membawa kepada keputusan berkenaan perlu dilihat secara terbuka tanpa menyalahkan rakyat, selain tidak mencari 'kambing hitam' yang menyebabkan kekalahan berkenaan.

Iklan

"Kita tidak boleh menuding jari kepada rakyat. Kita tidak boleh mengatakan rakyat tidak faham. Kita tidak boleh mengatakan rakyat membuat keputusan yang salah.

"Rakyat mempunyai hak untuk memilih dan kita mempunyai tanggungjawab untuk memahami mengapa mereka membuat pilihan tersebut. Bukan untuk mencari kambing hitam, tetapi untuk mencari jalan keluar,"katanya.

Beliau turut memohon maaf kepada seluruh anggota parti atas segala kekurangan dan kelemahannya sepanjang memikul tanggungjawab sebagai pengerusi di Negeri Sembilan.

Justeru katanya, beliau akan akur apa saja keputusan parti terhadapnya selain menyedari bahawa jawatan tersebut bukan miliknya.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Presiden, Timbalan Presiden dan seluruh pimpinan atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada kepimpinan memimpin PKR Negeri Sembilan.

"Saya memohon ampun dan maaf kepada seluruh anggota parti atas segala kekurangan dan kelemahan sepanjang saya menjadi ketua.

"Saya juga mengambil maklum bahawa apa saja keputusan yang akan dibuat oleh pimpinan parti terhadap diri saya, saya bersedia menerimanya. Jawatan bukan milik saya, amanah adalah milik parti," katanya.

Namun Aminuddin menegaskan bahawa kekalahan bukanlah sebagai alasan untuk berhenti berjuang.

Sebaliknya katanya, ia adalah titik permulaan kepada pembinaan semula parti ke arah yang lebih baik dengan menyusun semula organisasi, strategi dan perkemaskan jentera.

"Jika parti melihat ada keputusan yang perlu dibuat demi masa depan PKR Negeri Sembilan, saya akan menghormatinya.

"Tetapi saya ingin tegaskan satu perkara, saya tidak akan menjadikan kekalahan sebagai alasan untuk berhenti berjuang, sebaliknya, kekalahan ini mesti menjadi titik permulaan kepada pembinaan semula," katanya.

Selain itu beliau menjelaskan tidak mahu parti tersebut di Negeri Sembilan menjadi parti yang hanya muncul ketika pilihan raya.

"Saya mahu kita hadir bersama rakyat setiap masa. Ketika rakyat susah, kita mesti ada. Ketika anak muda mencari masa depan, kita mesti ada.

"Ketika keluarga berdepan tekanan kos sara hidup, kita mesti ada. Ketika petani, nelayan, penjaja, pekerja dan golongan rentan menghadapi masalah, kita mesti ada," katanya.