[VIDEO] 'Takut tapi tetap fly' - Remaja 16 tahun antara ditahan lakukan aksi 'superman'

Iklan

KUALA LUMPUR - Aksi ‘superman’ ketika menunggang motosikal di lebuh raya dilakukan hanya untuk keseronokan walaupun mengakui diselubungi perasaan takut setiap kali melakukan lagak berbahaya itu.

Bagaimanapun perbuatan samseng jalanan tersebut akhirnya menjerat diri selepas ditahan polis menerusi operasi bersepadu di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di sini kira-kira jam 3 pagi pada Ahad.

Iklan
Iklan

Mohd Zamzuri (tengah) memberi nasihat kepada lima samseng jalanan yang ditahan di Lebuhraya DUKE pada Ahad.

Operasi itu digerakkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak serta konsesi Lebuhraya DUKE.

Iklan

Tindakan bersepadu itu berjaya menahan lima penunggang motosikal yang melakukan aksi 'superman'.

Seorang daripada remaja lelaki berusia 16 tahun yang tidak bersekolah itu berkata, dia ditahan selepas pulang bekerja di gerai burger.

Iklan

"Habis kerja saya akan pusing-pusing sini (Lebuhraya DUKE) layan 'fly'. Saya seorang sahaja, ini pun motosikal mak.

"Fly ini cuma suka-suka sahaja. Memang ada rasa takut itu, tapi buat jugak," kata penunggang Yamaha Lagenda dan tidak memiliki lesen memandu.

Anggota JSPT Kuala Lumpur mengeluarkan saman atas kelbagai kesalahan semasa operasi Op Samseng Jalanan di Lebuhraya DUKE pada Ahad.

Seorang lagi remaja berusia 16 tahun yang masih bersekolah di Tingkatan Empat juga mengakui tindakannya melakukan aksi berbahaya itu sekadar untuk suka-suka.

"Saya saja-saja fly malam ini dari Gombak. Tadi saya keluar dengan kawan-kawan lain, tapi mereka lepas dah.

"Saya melepak tadi di bengkel rakan. Ini pun cuma pinjam motosikal kawan," kata remaja yang tidak mempunyai lesen memandu itu.

Sinar Harian yang mengikuti operasi terbabit mendapati terdapat tindakan segelintir samseng jalanan menunggang melawan arus selepas menyedari laluan ditutup.

Sementara itu, Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lima samseng jalanan berusia 16 hingga 22 tahun ditahan.

Katanya, tindakan diambil mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kelima-lima lelaki terbabit pernah ditahan sebelum ini atau sebaliknya.

Polis menutup laluan bagi melaksanakan pemeriksaan penuh penunggang motosikal di Lebuhraya DUKE pada Ahad.

"Lebuh raya (DUKE) ini salah satu lokasi samseng jalanan di Kuala Lumpur selain Jalan Raja Laut serta Jalan Tun Razak.

"Kita menerima aduan daripada penduduk di sini apabila kawasan di sekitar kediaman dijadikan tempat melepak geng motosikal bagi menonton dan melakukan aksi berbahaya," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Tambahnya, operasi dilaksanakan pihaknya setiap hari di seluruh ibu negara.

Dalam pada itu, Mohd Zamzuri memaklumkan, Op Samseng Jalanan telah melaksanakan 778 pemeriksaan motosikal selain 495 saman keseluruhan dikeluarkan.

"Sebanyak 41 motosikal telah disita oleh JSPT Kuala Lumpur dan BSPT IPD Gombak," ujarnya.

Tegasnya, semua pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas selain elakkan melakukan pengubahsuaian kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi, menunggang secara berbahaya serta terlibat dalam aktiviti lumba haram.