KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melakar sejarah tersendiri apabila julung kalinya muncul Juara Keseluruhan Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Ke-46.
Lebih manis, kejayaan sulung selepas 46 tahun penganjuran kejohanan itu dicapai ketika UniSZA bertindak sebagai tuan rumah buat julung kalinya bagi edisi yang berlangsung dari 8 hingga 15 Ogos.
Kontinjen UniSZA tampil cemerlang apabila mengungguli kutipan keseluruhan 43 pingat iaitu 18 pingat emas, 10 perak dan 15 gangsa.
Pencapaian itu sekali gus menjadi kemuncak kejayaan kontinjen UniSZA yang mempamerkan prestasi konsisten dalam pelbagai acara sukan sepanjang kejohanan, selain membuktikan keupayaan atlet bersaing di peringkat tertinggi dalam kalangan universiti awam (UA) Malaysia.
Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh kontinjen UniSZA atas kejayaan bersejarah itu.
Beliau menyifatkan kejayaan itu adalah hasil latihan, disiplin, semangat berpasukan dan pengorbanan tinggi yang dicurahkan oleh para atlet.
Menurut beliau, kejayaan dalam SUKUM bukan sekadar diukur melalui jumlah pingat yang dimenangi, sebaliknya turut mencerminkan semangat kesukanan, persahabatan dan kebersamaan warga pendidikan tinggi.
"Syabas dan tahniah kepada kontinjen UniSZA yang telah muncul sebagai Juara Keseluruhan SUKUM Ke-46. Kejayaan ini pastinya terhasil daripada latihan, disiplin, semangat berpasukan dan pengorbanan yang tinggi," katanya.
Kejayaan itu amat bermakna buat UniSZA apabila bukan sahaja berjaya menamatkan penantian 46 tahun untuk meraih gelaran juara keseluruhan, malah menyempurnakan tanggungjawab sebagai tuan rumah kejohanan tersebut buat kali pertama.
Dalam pada itu, pihak UniSZA menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi atas kepercayaan yang diberikan untuk mengendalikan penganjuran edisi ke-46 kali ini.
Penganjuran SUKUM Ke-46 di UniSZA bukan sahaja menyaksikan persaingan sengit bagi merebut kejuaraan, malah menjadi platform memperkukuh hubungan dan ukhuwah antara warga universiti awam.
Penganjuran kejohanan turut memperlihatkan komitmen tinggi daripada semua UA, atlet, pegawai kontinjen, pengadil, urus setia, petugas teknikal, sukarelawan serta petugas keselamatan dan kesihatan dalam memastikan kelancaran sepanjang acara berlangsung.
Sementara itu, Universiti Sains Malaysia (USM) bakal mengambil alih tanggungjawab sebagai tuan rumah bagi penganjuran SUKUM Ke-47 pada edisi akan datang.