Seruan Anwar kepada 'otai' lama bukan kami, mungkin Tian Chua dan Xavier - Rafizi

Iklan
Rafizi

MELAKA - Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli berpandangan seruan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya ‘otai-otai’ lama kembali kepada perjuangan PKR mungkin tidak ditujukan kepada beliau dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Rafizi berkata, beliau menganggap dirinya masih muda dan tidak pasti sama ada Presiden PKR itu merujuk kepadanya serta Nik Nazmi ketika menyebut mengenai ‘otai-otai’ berkenaan.

Iklan
Iklan

“Saya pun tak boleh nak baca niat dia, sama ada bila dia sebut 'otai-otai' itu, adakah dia merujuk kepada saya dan Nik Nazmi.

“Ataupun saya lebih cenderung merasakan dia merujuk kepada kumpulan-kumpulan seperti Tian Chua, Dr Xavier Jayakumar dan sebahagian daripada kumpulan yang bersama-sama dengan Datuk Seri Azmin Ali dulu, bukan kami,” katanya pada Pengumuman Calon Bersama PRN Melaka di Batu Berendam di sini pada Sabtu.

Iklan

Anwar pada ucapan perasmian Kongres Nasional Keadilan pada Sabtu memohon maaf selain merayu kepada bekas pemimpin dan aktivis parti itu agar kembali ke landasan perjuangan PKR.

Ketua Penerangan Wanita PKR, Ginie Lim memuat naik gambar bersama Tian Chua dan Dr Xavier Jayakumar hadir di kongres berkenaan.

Iklan

Mengulas hala tuju Bersama, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, parti itu memberi tumpuan jangka panjang untuk membina politik progresif tanpa menjadikan kuasa sebagai matlamat dalam tempoh singkat.

Ujarnya, Bersama perlu membina kekuatan dari bawah secara bersendirian bagi memastikan parti berkenaan mampu memberi kesan lebih besar kepada rakyat.

“Bagi saya, untuk Bersama ada kesan yang besar untuk berkhidmat dengan rakyat, Bersama mesti ada kekuatan daripada bawah.

“Dan kekuatan itu hanya boleh dibina bila kita masuk secara bersendirian dan kita tidak bergantung kepada kekuatan orang lain.

“Apabila kita dipaksa untuk membina kekuatan kerana kita berjuang sendirian dan tidak bergantung kepada gabungan, kita perlu bergerak lebih pantas dan melakukannya dengan lebih cepat.

“Jadi memang soal kerjasama politik, strategi politik ini memang tidak ada dalam kamus Bersama,” katanya.