Halang kenderaan awam beri laluan konvoi supercar, dua 'marshall' ditahan polis

Iklan

ISKANDAR PUTERI – Dua pemandu kereta yang bertindak sebagai pengiring atau ‘marshall’ bagi sebuah konvoi supercar ditahan polis selepas video aksi mereka menghalang kenderaan awam di bulatan Lebuh Kota Iskandar tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Saifullah Jaya @ Yahaya berkata, kedua-dua suspek lelaki warga tempatan berusia 65 dan 54 tahun itu ditahan pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Sebelum itu, pihaknya menerima maklumat mengenai video yang tular di platform Threads, memaparkan aksi dua pemandu menahan kenderaan di bulatan berkenaan bagi memberi laluan kepada konvoi supercar.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua pemandu terbabit bertindak sebagai ‘marshall’ dengan menahan kenderaan bagi memberi laluan kepada kenderaan konvoi,” katanya dalam kenyataan pada malam Sabtu.

Iklan

Menurut Saifullah, kes disiasat mengikut Seksyen 110 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana galangan dan gangguan, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000 jika disabitkan kesalahan.

“Sebanyak empat saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan berkaitan ketidakpatuhan terhadap spesifikasi kenderaan yang ditetapkan.

Iklan

“Kenderaan terbabit turut disita untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan tegas bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang bertindak sebagai pengiring konvoi tidak sah sehingga menghalang lalu lintas atau memberhentikan kenderaan awam secara tidak sah.

“Tindakan sedemikian jelas mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.