Sakit hati dicurangi, isteri potong kemaluan suami guna sabit

Iklan
Polis membawa seorang lelaki yang cedera ke Puskesmas Kunir selepas dipercayai diserang isterinya di rumah mereka di Desa Kunir Lor, Lumajang, Jawa Timur. (Foto SuryaMalang.com)

JAKARTA - Gara-gara sakit hati sering dicurangi dan diancam cerai, seorang wanita tergamak mengelar kemaluan suaminya menggunakan sabit dalam kejadian di Desa Kunir Lor, Kecamatan Kunir, Lumajang, Jawa Timur pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, suspek dikenali sebagai AA, 25, dipercayai menyerang suaminya, AF yang juga berusia 25 tahun ketika lelaki berkenaan sedang tidur di dalam bilik.

Iklan
Iklan

Serangan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan pendarahan teruk sebelum dibawa ke Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Kunir untuk mendapatkan rawatan awal.

Mangsa kemudiannya dilaporkan menerima rawatan lanjut di Hospital Umum Daerah (RSUD) Dr Haryoto, Lumajang.

Iklan

Seorang penduduk dikenali sebagai Muslim berkata, kemaluan mangsa tidak terputus sepenuhnya meskipun terkena senjata tajam berkenaan.

Difahamkan, suspek sempat melarikan diri selepas kejadian dan dipercayai turut membuang bahan bukti dalam usaha menghilangkan jejak.

Iklan

Bagaimanapun, wanita itu kemudiannya berjaya ditahan dengan bantuan penduduk setempat sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Subseksyen Perhubungan Awam Polis Lumajang, Ipda Suprapto mengesahkan suspek kini berada dalam tahanan polis bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pihak berkuasa masih menyiasat motif sebenar di sebalik serangan tersebut.

Dalam pada itu, laporan media tempatan mendakwa konflik rumah tangga pasangan berkenaan dipercayai menjadi antara punca kejadian.

Wanita terbabit dikatakan berang dan cemburu kerana mendakwa suaminya kerap berlaku curang selain sering mengancam untuk menceraikannya.

Polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut bagi mendapatkan gambaran penuh kejadian termasuk mengesahkan dakwaan berhubung masalah rumah tangga pasangan tersebut. - Agensi