CHANGLUN – Pada hari bekerja, Rosdi Husin, 43, berada di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara, Sintok, melaksanakan tanggungjawabnya sebagai tenaga pengajar.
Namun apabila hujung minggu menjelma, suasana berubah. Seawal pagi Jumaat dan Sabtu, Rosdi bersama isteri dan anak tunggalnya sudah sibuk di dapur, menyiapkan nasi kerabu, laksam dan onde-onde untuk pelanggan sekitar Changlun.
Bagi Rosdi, aktiviti itu bukan sekadar usaha menambah pendapatan keluarga.
Lebih daripada itu, ia adalah cara untuk meneruskan warisan ibunya, Mek Yah Noor, 81, yang pernah mencari rezeki dengan menjual kuih-muih di Pasar Beris Kubur Besar, Bachok, Kelantan.
“Dari kecil lagi saya sudah biasa melihat ibu berniaga dan memasak. Jadi, apabila saya sendiri mula berniaga, kemahiran itu sedikit sebanyak datang daripada apa yang saya belajar dan lihat daripada ibu,” katanya.
Perniagaan kecil-kecilan yang dimulakan sejak 2017 itu juga memperlihatkan betapa kuatnya budaya berniaga dalam keluarga besar Rosdi yang mempunyai sembilan beradik.
Menariknya, bukan Rosdi seorang yang memilih makanan sebagai sumber pendapatan.
Beberapa adik-beradiknya turut meneruskan tradisi tersebut selepas berhijrah dan membina kehidupan di negeri lain.
Kakak sulungnya, Saripah Husin, menjual kuih-muih dan laksam di sekitar Kampung Tok Belian dan Kampung Pauh Sembilan, Bachok.
Seorang lagi kakaknya, Nor Hayati Husin, pula berniaga di kawasan Kem Tentera Laut, Lumut, selepas suaminya bersara daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Abangnya, Rozlan Husin, yang merupakan pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pula menjual nasi kerabu di Besut.
Adiknya, Mohd Rozaimi Husin, seorang guru di SK Bayan Lepas, turut menjalankan perniagaan makanan Kelantan di Sungai Rusa, selain menjadi deejay bagi majlis rasmi dan kenduri di Pulau Pinang.
Adik bongsunya, Muhammad Za Fauzan Husin, guru di SMK Rapat Setia, juga mengusahakan perniagaan makanan di Taman Seri Cempaka, Ipoh, dengan menyediakan antaranya roti jala jelita, pulut semangat dan gulai ala Kelantan.
Berniaga sudah jadi darah daging
Bagi Rosdi, keadaan itu membuktikan bahawa berniaga makanan seolah-olah sudah menjadi sebahagian daripada darah daging keluarganya.
Beliau yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dari IKBN Bachok telah berkhidmat sebagai tenaga pengajar di ABM sejak 2011 dan kini menetap bersama keluarga di FELDA Batu 8, Changlun.
Isterinya, Nor Zarina Che Husin, 43, yang berasal dari Pauh Sembilan, Bachok, menjadi tulang belakang utama dalam operasi perniagaan tersebut.
Anak tunggal mereka, Mohd Amirul Rasyad, 13, yang menuntut di Sekolah Menengah Agama Al-Azhar, Jitra, turut membantu apabila mempunyai kelapangan.
Setiap Jumaat dan Sabtu, mereka mula berniaga seawal jam 7 pagi sehingga 11.30 pagi.
Nasi kerabu menjadi antara menu utama yang mendapat sambutan, selain laksam dan onde-onde.
Mereka turut menerima tempahan nasi Kak Wok, nasi kerabu dan nasi gulai Kelantan untuk majlis, jamuan atau pelanggan yang membuat tempahan dalam kuantiti lebih besar.
Bukan anak Kelantan sahaja jadi pelanggan
Walaupun pada awalnya perniagaan itu banyak mendapat sambutan daripada komuniti Kelantan, pelanggan Rosdi kini semakin pelbagai.
Kehadiran komuniti Kelantan yang agak besar di sekitar Changlun dan Sintok, termasuk dalam kalangan warga Universiti Utara Malaysia (UUM), sememangnya menyediakan pasaran tersendiri untuk makanan yang membawa rasa kampung halaman.
Namun, semakin ramai penduduk tempatan termasuk golongan bukan Melayu turut menjadi pelanggan tetap.
Ada yang datang kerana mahu menikmati makanan tradisional Kelantan, manakala sebahagian yang lain kembali kerana sudah serasi dengan cita rasa nasi kerabu, laksam dan hidangan lain yang disediakan.
Bagi anak Kelantan yang merantau, makanan seperti nasi kerabu dan laksam bukan sekadar hidangan.
Ia membawa nostalgia – rasa pagi di kampung, masakan ibu dan suasana pasar yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Di situlah Rosdi melihat peluang untuk meneruskan usaha kecilnya.
Walaupun mempunyai pekerjaan tetap, beliau memilih memanfaatkan masa hujung minggu untuk menjana pendapatan tambahan bersama keluarga, sambil memperkenalkan makanan tradisional Kelantan kepada masyarakat setempat.
Jambatan komuniti anak Kelantan
Hubungan Rosdi dengan komuniti Kelantan di utara Semenanjung juga tidak terhenti pada perniagaan makanan.
Sejak 2022, beliau memegang amanah sebagai Bendahari Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (PERAKAN) Changlun yang menghimpunkan kira-kira 350 hingga 400 anak Kelantan yang menetap dan bekerja di kawasan berkenaan.
Persatuan berkenaan dipimpin presidennya, Dr Muhamad Amar Mahmad dan aktif menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan serta kekeluargaan seperti berbuka puasa, sambutan Hari Raya dan majlis asyura.
Bagi masyarakat yang tinggal jauh daripada keluarga di Kelantan, program seperti itu menjadi ruang untuk mereka berkumpul, saling mengenali dan menghulurkan bantuan antara satu sama lain.
Kehadiran ramai warga Kelantan di UUM dan sekitar Changlun turut menjadikan PERAKAN sebagai jambatan sosial yang menghubungkan masyarakat perantauan dengan negeri asal mereka.
Dalam konteks itu, perniagaan makanan Rosdi turut membawa makna yang lebih besar daripada sekadar urusan jual beli.
Makanan menjadi medium yang mudah untuk mempertemukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Nasi kerabu yang dijual pada pagi Jumaat dan Sabtu, misalnya, boleh menemukan pensyarah, pekerja, keluarga dan penduduk setempat dalam suasana yang sama.
Ada yang datang kerana rindu makanan Kelantan, ada pula yang sekadar mahu mencuba. Namun akhirnya, ada yang kembali kerana sudah jatuh hati dengan rasanya.
Dari dapur ibu ke meja pelanggan
Kisah Rosdi membuktikan bahawa keusahawanan tidak semestinya bermula dengan premis besar atau modal yang tinggi.
Kadangkala, ia bermula daripada kemahiran yang diwarisi daripada seorang ibu, kemudian dikembangkan dengan disiplin, kesungguhan dan sokongan keluarga.
Pada hari biasa, Rosdi berkongsi ilmu dan kemahiran dengan pelajar sebagai tenaga pengajar.
Pada hujung minggu pula, beliau menterjemahkan satu lagi bentuk ilmu yang diwarisi daripada ibunya, ilmu tentang kerja keras, mencari rezeki dan menjaga kualiti makanan menerusi perniagaan kecil bersama keluarga.
Apa yang bermula sebagai usaha menambah pendapatan sejak 2017 kini berkembang menjadi satu cara untuk mengekalkan cita rasa Kelantan di utara tanah air.
Lebih bermakna, usaha itu dilakukan bersama isteri dan anak tunggalnya, menjadikan dapur kecil mereka bukan sahaja tempat menyediakan makanan, tetapi ruang untuk meneruskan sebuah warisan keluarga.
Dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar, kisah Rosdi menunjukkan pekerjaan tetap tidak menghalang seseorang memanfaatkan kemahiran yang ada untuk menjana pendapatan tambahan secara produktif.
Bagi pelanggan di Changlun, ukuran paling mudah terhadap kejayaan itu barangkali tidak memerlukan angka jualan.
Datang sekali kerana mahu mencuba, kembali lagi kerana sudah jatuh cinta dengan rasa.