Tutup LPT untuk RXZ Members, majoriti responden Sinar Harian tak setuju

Iklan
Majoriti responden di 5 platform digital Sinar Harian merasakan cadangan sedemikian sebagai tidak munasabah, tidak kurang juga yang menyarankan agar penganjuran tersebut tidak lagi diteruskan.

SHAH ALAM - Cadangan supaya Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan LPT2 ditutup seketika bagi memberi laluan kepada peserta program RXZ Members pada masa akan datang dianggap tidak wajar.

Berdasarkan dapatan 'poll' yang dimuat naik selama 24 jam oleh Sinar Harian, majoriti responden di lima platform digital merasakan cadangan sedemikian sebagai tidak munasabah, tidak kurang juga yang menyarankan agar penganjuran tersebut tidak lagi diteruskan.

Iklan
Iklan

Menerusi ruangan komen di Instagram, lebih 200 pelayar Sinar Harian memilih tidak wajar menutup LPT1 dan LPT2 meskipun untuk sementara waktu.

Responden merasakan penganjur tidak mengambil kira kos kerugian kutipan tol bakal ditanggung syarikat konsesi lebuh raya berkenaan, sebaliknya memilih untuk mementingkan kepuasan diri sendiri sahaja.

Iklan

Ada yang secara sinis berpendapat bahawa ia mungkin boleh dibuat, dengan syarat penganjur atau kesemua peserta RXZ Members mampu untuk menampung kos kerugian itu ketika pergi dan pulang ke tempat asal masing-masing.

Selain itu, ada yang merasakan tiada keperluan untuk menutup lebuh raya asalkan penunggang motosikal sentiasa berhati-hati dan tidak menyusahkan pengguna lebuh raya lain.

Iklan

Ditambah pula, penunggang motosikal secara umumnya tidak dikenakan caj kutipan tol sama sekali.

Bagaimanapun, pengguna @azmiasra mencadangkan ada baiknya pihak penganjur mempertimbangkan pemberian elaun makan, penginapan, elaun minyak dan kehadiran daripada menyarankan penutupan lebuh raya.

Di platform Youtube pula menyaksikan seramai 246 responden bersamaan 78 peratus mengundi pilihan tidak wajar.

Tiada satu pun komen yang dilihat menyokong cadangan menutup lebuh raya tersebut.

Responden beranggapan ia idea gila dan tidak realistik selain merasakan penganjur meminta berlebih-lebihan hanya kerana alasan mereka turut membayar cukai jalan.

Sekurang-kurangnya 46 responden di platform Threads merasakan perkara sama apabila 85 peratus daripadanya menyatakan pilihan tidak wajar.

Begitu juga di media sosial X di mana seramai 44 responden bersamaan 91 peratus memilih untuk tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Pengguna @ismet_ulam berpendapat bahawa acara tersebut sepatutnya ditutup dan tidak diteruskan berikutan penganjuran selama lapan kali itu merekodkan kadar kemalangan yang cukup tinggi.

Berdasarkan laporan media tempatan pada 4 Ogos lalu, sebanyak 46 kes kemalangan dan 11 maut direkodkan untuk RXZ 8.0 sahaja, tidak termasuk siri penganjuran sebelumnya.

Menjengah di platform Facebook pula, 77 peratus bersamaan 17 responden turut beranggapan cadangan itu tidak wajar, namun tidak memperincikan alasan di sebaliknya.