MANJUNG - Rumah Ngaji Teluk Muroh terus mencipta kelainan membudayakan bacaan al-Quran apabila memilih pusat beli-belah AEON Seri Manjung di sini bagi menyemarakkan penganjuran Malaysia #QuranHour pada Sabtu.
Bacaan Surah al-Muzammil yang dipilih bergema di lokasi tumpuan pengunjung pada hujung minggu itu dengan disertai kira-kira 70 peserta dari Rumah Ngaji berkenaan.
Penggerak Rumah Ngaji Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, program julung kali diadakan di pusat beli-belah itu bertujuan mendekatkan masyarakat dengan al-Quran dengan menjadikan kitab suci itu sebagai panduan dalam kehidupan.
Menurutnya, al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, sebaliknya perlu difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
"Bacaan Surah al-Muzammil mengingatkan kita supaya bangkit dan tidak terus berselimut, termasuk bangun malam untuk mengerjakan solat seperti tahajud serta berdoa agar kemerdekaan negara terus kekal," katanya ketika ditemui pada program berkenaan pada Sabtu.
Maziah berkata, semangat kemerdekaan juga perlu disertai disiplin dalam melaksanakan ibadah dan amal kebaikan, sebagaimana generasi terdahulu berdepan pelbagai ancaman demi mempertahankan keamanan negara.
Menurut beliau, pemilihan pusat beli-belah sebagai lokasi program kerana premis itu menjadi tempat tumpuan orang ramai, sekali gus memberi peluang untuk mendekatkan al-Quran kepada lebih ramai masyarakat.
Tambahnya, peserta program berkenaan terdiri daripada Panji-Panji Al-Muzammil dari Rumah Ngaji Teluk Muroh serta pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al-Abrar Seri Manjung.
Beliau turut mengajak pempamer dan pengunjung pusat beli-belah berkenaan bersama-sama menyebarkan syiar al-Quran.
Sebelum ini Rumah Ngaji Teluk Muroh pernah mengadakan Program #QuranHour di atas Kapal Diraja (KD) Teguh Samudera Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Markas Udara TLDM, kapal pelayaran Barbosa dan sebagainya.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menganjurkan Malaysia #QuranHour 2026 pada 30 Ogos ini dengan mengetengahkan tema 'Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera'.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, penganjuran yang memasuki tahun ke-12 itu terus menjadi wadah pengisian spiritual sempena Hari Kebangsaan 69 tahun.
Katanya, Malaysia #QuranHour merupakan salah satu program sisipan di bawah Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan, Kementerian Komunikasi.
Menurutnya, tema 'bingkas' dipilih berasaskan gabungan penghayatan Surah al-Muzzammil dan Surah al-Balad yang mengajak masyarakat segera mencari jalan keluar daripada kesusahan tanpa berlama-lama meratapi ujian kehidupan.