Britain kecam Netanyahu gelar negara itu 'Republik Islam Britain'

Iklan
Netanyahu

BAITULMAQDIS - Britain menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang secara sinis menggelar negara itu sebagai 'Republik Islam Britain' sebagai tidak boleh diterima sama sekali.

Perang mulut secara diplomatik itu tercetus selepas Netanyahu membuat kenyataan berkenaan dalam temu bual podcast radio tentera Israel sambil mengkritik pendirian Britain terhadap Israel.

Iklan
Iklan

Kenyataan itu mengulangi naratif digunakan ahli politik dan pengulas berhaluan kanan di dunia Barat, termasuk dakwaan bahawa sebahagian kawasan di Britain tertakluk undang-undang Islam susulan peningkatan penghijrahan yang dikritik sebagai retorik Islamofobia.

Jurucakap Kerajaan Britain berkata, kenyataan Netanyahu sama sekali tidak boleh diterima dan pihaknya sudah membangkitkannya dengan Israel.

Iklan

Dalam temu bual dengan radio BBC pada Jumaat, Jurucakap Israel, David Mencer dilihat cuba memperkecilkan kenyataan Netanyahu itu.

"Beliau hanya memetik kenyataan yang dibuat oleh orang lain dan apa yang dikatakan naib presiden," katanya sambil mendakwa Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance pernah membuat kenyataan itu sebelum ini.

Iklan

Vance pada Julai 2024 pernah mendakwa Britain sebagai negara Islam pertama yang berpotensi memiliki senjata nuklear di Sidang Kemuncak Keselamatan Munich.

Kenyataannya ketika itu mengundang kecaman beberapa pemimpin Britain.

Britain antara beberapa negara Eropah yang mengiktiraf negara Palestin pada September tahun lalu sehinggakan langkah tersebut mendapat tentangan keras dari Israel.

Perdana Menteri Britain yang baharu, Andy Burnham berkata, pendahulunya, Keir Starmer tidak memberi tekanan secukupnya kepada Israel untuk menghentikan serangan di Gaza.

Dalam temu bual dengan The Guardian sebelum memegang jawatan, Burnham memaklumkan Britain pertimbang untuk mengharamkan perdagangan barangan dari penempatan Israel di Tebing Barat yang didudukinya sejak 1967.

Britain yang lazimnya mempunyai hubungan rapat dengan Washington tidak menyertai serangan awal AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu.

Netanyahu sejak sekian lama berikrar untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear, matlamat yang dinafikan Teheran.

Britain dan AS ialah negara kuasa nuklear, manakala Israel diketahui secara meluas memiliki senjata atom walaupun tidak pernah mengakui secara terbuka kewujudan senjata berkenaan.

Pada 1998, Pakistan menjadi kuasa nuklear Islam pertama selepas menguji bom atom sebagai tindak balas terhadap ujian serentak oleh musuh tradisinya, India. - Agensi