TEMERLOH – Pemandu dan semua penumpang disyaki rentung selepas kereta dinaiki dihempap lori tangki minyak yang terbalik sebelum kedua-dua kenderaan tersebut musnah terbakar di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, setakat ini, butiran dan jumlah mangsa terlibat belum diketahui.
Menurutnya, pemandu lori tangki berusia 37 tahun terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk laluan bertentangan," katanya.
Mohd Nasyim berkata, kereta dinaiki mangsa dipercayai gagal mengelak lalu terlanggar bahagian sisi lori tangki tersebut.
"Akibat kejadian lori terbabit terbalik menghempap kereta sebelum di kedua-duanya terbakar.
"Pemandu dan penumpang yang belum pasti bilangannya tersepit dan rentung dalam kereta yang remuk," katanya.
Jelas beliau, pihak bomba mengambil masa untuk memadam kebakaran kerana melibatkan bahan api.
Beliau berkata, pasukan siasatan masih di lokasi untuk pengesahan jumlah dan butiran mangsa terlibat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pemandu lori kini ditahan untuk siasatan lanjut," ujarnya.
Menyusul