Tindakan kejar, rempuh pelajar tunjukkan sikap melulu luar biasa tertuduh

Iklan
Mohd Nazri (tengah) berdepan pertuduhan membunuh Muhammad Zaharif Affendi berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di Ipoh 15 Disember 2023.

IPOH - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat diberitahu tindakan seorang pegawai kanan polis mengejar mangsa pada kelajuan tinggi sebelum merempuhnya dengan sebuah kereta disifatkan sebagai tindakan yang sangat berbahaya dan menunjukkan sikap melulu luar biasa.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berkata, tindakan Deputi Superintenden Mohd Nazri Abdul Razak mengejar Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie dalam jarak dekat dilakukan dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu boleh mendatangkan kematian.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tertuduh dikesan tidak memperlahankan kenderaan Perodua Ativa dipandunya walaupun melalui bonggol di kawasan sekolah sebaliknya terus mengekori rapat sebelum merempuh mangsa di satu persimpangan.

"Dan apabila tertuduh mendapat peluang tersebut, beliau melanggarnya dari bahagian belakang di simpang, dan mangsa tidak tahu sebenarnya seseorang berada di belakangnya begitu dekat, sedang mengejarnya,” katanya ketika menggulung hujah di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet di sini pada Jumaat.

Iklan

Menjawab isu yang dibangkitkan pihak pembelaan, Afzainizam berkata ketiadaan kesan bunga tayar pada badan mangsa bukan bukti remaja itu tidak digilis sebaliknya keterangan pakar patologi menyatakan bahawa faktor pakaian tebal mungkin melindungi kesan tersebut.

Menyentuh mengenai data Perakam Data Acara (EDR), beliau berkata, maklumat kelajuan dan penggunaan brek kenderaan tertuduh diperoleh menerusi perisian khas oleh pembantu teknikal Perodua yang mengekstraknya tanpa perlu mengeluarkan perkakasan daripada kenderaan bagi mengekalkan integriti laporan analisis.

Iklan

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober depan untuk memutuskan sama ada Mohd Nazri, 46, perlu dipanggil membela diri atas pertuduhan membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17.

Afzainizam dibantu Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Monisha Pandey manakala Mohd Nazri diwakili peguam Datuk M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid serta Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Pegawai kanan polis itu didakwa melakukan kesalahan tersebut berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini antara jam 11.55 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 kali. - Bernama