Penunggang motosikal rentung di LPT2: Mangsa dikenal pasti guru Kolej Tingkatan Enam

Iklan
Identiti penunggang motosikal yang rentung dalam kemalangan di LPT2 disahkan sebagai seorang guru.

​DUNGUN — Identiti penunggang motosikal yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 357 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Bukit Besi di sini awal pagi Jumaat disahkan sebagai seorang guru.

​Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Fahimi Yaacob, 41, yang berasal dari Marang, Terengganu.

Iklan
Iklan

​Menurut beliau, mangsa merupakan tenaga pengajar di Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu.

​"Difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan untuk ke Kuala Lumpur atas urusan kerja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas merempuh bahu jalan.

​Sebelum ini, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas kenderaan yang ditungganginya merempuh sebuah lori kurier yang terbabas dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi.

Iklan

​Mengulas mengenai tragedi itu, Nik Ab Halim berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas merempuh bahu jalan.

​"Pada masa sama, sebuah motosikal jenis Zontes yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh lori berkenaan, menyebabkan kenderaan itu kemudiannya hangus terbakar.

​"Penunggang motosikal berkenaan tidak sempat menyelamatkan diri lalu rentung dan disahkan maut di lokasi kejadian," katanya.