KOTA BHARU - Kehidupan di kampus bukan sekadar tentang kuliah, tugasan dan peperiksaan kerana ada hari yang dilalui menuntut sesetengah mahasiswa memilih bagaimana wang yang terhad perlu dibahagikan antara makanan, bahan pembelajaran atau keperluan esok.
Itulah realiti yang dilalui oleh tiga mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang melalui cabaran berbeza dalam menguruskan kehidupan di kampus.
Mereka ialah Muhammad Ammar Mohd Zulkefli, Mohamad Aiman Affendi Azmi dan Nur Alya Nadhirah Mohd Jusoh.
Salah seorang penerima, Muhammad Ammar merupakan pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Pelancongan) dengan Kepujian dan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Ayahnya bekerja sebagai pemandu lori manakala ibunya seorang suri rumah.
Bagi Ammar, impian memperoleh ijazah membawa harapan untuk menjadi graduan pertama dalam keluarga dan membalas pengorbanan ibu bapanya.
Namun, ada masanya wang yang ada perlu dibahagikan dengan begitu cermat sehingga makan terpaksa dikurangkan.
“Sebelum ini, ada masanya saya terpaksa mengurangkan makan kerana bimbang wang tidak mencukupi. Kebiasaannya saya hanya makan sekali sehari.
“Dengan adanya baucar pada hari Selasa dan Khamis, sekurang-kurangnya saya dapat makan dua kali sehari, pada hari tersebut,” kata Muhammad Ammar yang sentiasa mengingati pesanan ibunya untuk menghabiskan pengajian.
Melalui Program Santun Pelajar Mekdi, Ammar menerima baucar Nasi Mekdi yang boleh ditebus pada hari yang ditetapkan sekali gus membolehkannya berjimat untuk menguruskan bahan pembelajaran dan keperluan tidak dijangka.
Dalam pada itu, melalui peranannya dalam MPP, Ammar membantu menyampaikan maklumat mengenai bantuan yang tersedia dan menghubungkan pelajar kepada saluran sokongan universiti.
Muhammad Ammar mahu membantu orang lain menjadi sebahagian daripada amanahnya yang dibawa sebagai wakil pelajar.
Mohamad Aiman belajar erti tanggungjawab
Bagi Mohamad Aiman, menjadi anak sulung daripada tiga beradik membuatkan beliau memahami erti berjimat lebih awal kerana ayahnya bekerja sebagai buruh manakala ibunya seorang suri rumah.
Menyedari pendapatan ayahnya diperlukan untuk kegunaan dua adiknya, Mohamad Aiman jarang meminta wang kecuali apabila benar-benar perlu.
Ketika cuti semester atau mempunyai masa lapang, pelajar tahun pertama Sarjana Muda Keusahawanan (Kesejahteraan) dengan Kepujian itu bekerja sebagai buruh untuk menampung sebahagian perbelanjaannya sendiri.
“Nilai satu hidangan membawa makna tersendiri kepada saya. Dengan adanya baucar Nasi Mekdi, saya dapat berjimat perbelanjaan makan malam dan menyimpan wang berkenaan untuk kegunaan pada hari berikutnya,” katanya.
Bagi Mohamad Aiman, penjimatan kecil hari ini membantunya menguruskan keperluan esok tanpa terlalu bergantung kepada ibu bapanya.
Selepas tamat pengajian, beliau mahu menimba pengalaman dan membina sumber pendapatan yang stabil agar dapat berkongsi tanggungjawab keluarga bersama ibu bapanya.
Nur Alya belajar berdikari
Sementara itu, Nur Alya yang mengambil jurusan sama dengan Mohamad Aiman turut belajar berdikari melalui pengalaman kehidupan seperti mahasiswa lain.
Ayahnya bekerja sebagai pemandu bas manakala ibunya seorang suri rumah. Senada dengan Mohamad Aiman, Nur Alya bekerja sambilan di sebuah kiosk yang menjual nasi bajet kepada pelajar.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan gembira kerana baucar ini membantu meringankan perbelanjaan saya. Saya rasa dihargai apabila ada pihak yang memahami dan mengambil berat keperluan mahasiswa seperti kami,” katanya.
Nur Alya berharap dapat membina kerjaya yang stabil dan meneroka peluang dalam bidang keusahawanan.
“Insya-ALLAH, membantu orang lain memang menjadi salah satu impian saya. Sekiranya diberikan rezeki dan kemampuan, saya mahu membantu mereka yang memerlukan, terutama dari segi sumbangan dan keperluan asas,” katanya.
Satu hidangan dan erti perjuangan
Di UMK, sebanyak 8,000 baucar Nasi Mekdi diperuntukkan kepada pelajar. Di Kelantan pula, Program Santun Pelajar melibatkan lima institusi pengajian tinggi dengan keseluruhan 54,800 baucar untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan.
Dalam inisiatif berasingan sempena Majlis Penyerahan Zakat Korporat McDonald’s Malaysia di Kelantan, Muhammad Ammar, Mohamad Aiman dan Nur Alya turut menerima sumbangan komputer riba bersama 12 pelajar asnaf UMK yang lain untuk menyokong keperluan pembelajaran mereka.
Program Santun Pelajar bermula pada Februari 2026 dengan pengagihan 50,000 hidangan Nasi Mekdi sepanjang Ramadan dan kini diperluaskan ke 75 institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Setakat ini, lebih 400,000 baucar telah diagihkan, dengan sasaran sehingga satu juta baucar menjelang akhir 2026.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, tiada pelajar perlu memilih antara menghadiri kelas dan mendapatkan hidangan yang mencukupi.
“Melalui Program Santun Pelajar, kami mahu membantu meringankan sebahagian daripada cabaran harian mahasiswa agar mereka dapat memberi tumpuan kepada pendidikan, meneruskan pengajian dengan lebih yakin dan merealisasikan potensi masing-masing,” kata Azmir.
Kisah Muhammad Ammar, Mohamad Aiman dan Nur Alya menunjukkan bahawa satu hidangan boleh membawa makna berbeza kepada setiap mahasiswa.
Walaupun perjalanan yang dilalui Muhammad Ammar, Mohamad Aiman dan Nur Alya berbeza, mereka mempunyai harapan yang sama untuk menjadikan pendidikan sebagai jalan membalas pengorbanan keluarga dan membina kehidupan yang lebih baik.