Mapim kemuka lima tuntutan susulan larangan Waze

Iklan
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan susulan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam, termasuk penjelasan rasmi, audit risiko digital dan pembangunan alternatif tempatan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tuntutan itu penting bagi memastikan langkah berkenaan dilaksanakan berasaskan penilaian risiko yang kukuh, selain memperkukuh kedaulatan digital negara secara menyeluruh.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan asas teknikal, keselamatan dan dasar yang membawa kepada larangan itu, setakat yang tidak menjejaskan maklumat keselamatan yang dilindungi.

Menurutnya, semua aplikasi digital perlu dinilai menggunakan kriteria yang konsisten, termasuk pemilikan korporat, bidang kuasa undang-undang, pengendalian data, ketelusan dan risiko keselamatan, tanpa mengira negara asal, jenama atau kepentingan komersial penyedianya.

Iklan

Selain itu, kerajaan diminta menyediakan panduan penggunaan aplikasi alternatif yang selamat dan praktikal, termasuk latihan serta sokongan teknikal kepada penjawat awam bagi memastikan peralihan tidak menjejaskan kecekapan perkhidmatan awam atau mewujudkan risiko baharu.

"Tuntutan kelima ialah memperkukuh keupayaan teknologi tempatan bagi mengurangkan kebergantungan strategik terhadap penyedia luar yang berpotensi menimbulkan risiko kepada kepentingan negara," tambahnya.

Iklan

Mohd Azmi berkata, Malaysia mempunyai potensi memperkukuh penyelidikan dan pembangunan teknologi navigasi, pemetaan digital serta pengurusan data melalui kerjasama agensi awam, universiti, penyelidik dan syarikat teknologi tempatan.

Beliau berkata, sebarang aplikasi alternatif juga perlu dinilai berdasarkan ketepatan navigasi, perlindungan privasi, keselamatan siber, kebolehpercayaan dan keupayaan teknikal.

Menurutnya, Mapim menyokong usaha kerajaan melindungi kepentingan strategik negara sekiranya larangan itu berasaskan penilaian risiko yang kukuh.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tindakan berkenaan perlu menjadi sebahagian daripada dasar keselamatan digital yang lebih menyeluruh, telus dan konsisten.

"Mapim turut berpandangan kerajaan perlu menjelaskan sama ada larangan Waze berpunca daripada penilaian keselamatan siber, pertimbangan pemilikan korporat, dasar berkaitan Palestin atau gabungan faktor berkenaan," katanya.

Mohd Azmi berkata, kedaulatan digital perlu diperkukuh melalui keupayaan menilai teknologi secara bebas, melindungi data rakyat dan membangunkan alternatif berdaya saing yang berpaksikan kepentingan awam.