Ekonomi Malaysia berkembang 6 peratus, lepasi jangkaan - PM

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Ekonomi Malaysia berkembang enam peratus pada suku kedua tahun ini (S2 2026), mengatasi anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan unjuran median Bloomberg sebanyak 5.8 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi itu turut menjadi pertumbuhan paling kukuh bagi suku kedua di luar tempoh pandemik sejak 2014, sekali gus mencerminkan daya tahan ekonomi negara ketika berdepan kejutan bekalan global yang menjejaskan ekonomi dunia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pertumbuhan berkenaan dipacu permintaan domestik yang kukuh serta sektor luar negeri yang rancak, menjadikan pertumbuhan ekonomi bagi separuh pertama 2026 sebanyak 5.7 peratus.

Ia mencerminkan ketahanan ekonomi negara dalam berdepan kejutan bekalan global yang menjejaskan ekonomi dunia, susulan langkah proaktif kerajaan bagi melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan gangguan rantaian bekalan global.

Iklan

“Apakala krisis Asia Barat menggugat rantaian bekalan dan ekonomi dunia, kerajaan telah mengambil langkah serta-merta untuk melindungi rakyat dan perniagaan.

"Antaranya termasuk menyediakan pembiayaan kepada perusahaan kecil sederhana (PKS) yang terjejas serta mengekalkan subsidi bahan api secara bersasar agar rakyat dan perniagaan terlindung daripada tempias kejutan ekonomi dari luar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan langkah berkenaan membantu mengekalkan perbelanjaan isi rumah, merancakkan kegiatan perniagaan serta mempertahankan momentum pertumbuhan pada S2 2026.

Dalam pada itu, penggunaan swasta berkembang 4.8 peratus, didorong perbelanjaan lebih tinggi dalam sektor restoran dan hotel, pengangkutan serta makanan dan minuman susulan sambutan perayaan, cuti sekolah pertengahan tahun dan aktiviti berkaitan pelancongan.

Pelaburan swasta dan awam juga terus berkembang, disokong pelaburan dalam sektor teknologi serta pelaksanaan projek infrastruktur utama di seluruh negara.

Sektor luar negeri turut merekodkan prestasi kukuh apabila jumlah dagangan meningkat 34.1 peratus kepada RM1 trilion pada suku berkenaan, manakala lebihan dagangan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM84 bilion.

Aktiviti perindustrian turut mengukuh dengan Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 7.7 peratus pada S2 2026, disokong pertumbuhan pengeluaran lebih tinggi dalam sektor pembuatan, perlombongan dan elektrik.

Pada masa sama, inflasi Malaysia kekal terkawal pada 1.9 peratus, manakala guna tenaga meningkat 1.1 peratus kepada 16.8 juta orang dengan kadar pengangguran direkodkan pada tiga peratus.

Anwar berkata kerajaan bagaimanapun tidak boleh alpa dengan angka pertumbuhan yang memberangsangkan kerana masih terdapat rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup, selain pekerja dan perniagaan tertentu yang berdepan keadaan sukar.

“Malaysia tidak terkecuali daripada kesan pergolakan ekonomi dunia. Sungguhpun kita menyambut baik angka pertumbuhan yang memberangsangkan, kita tidak boleh alpa bahawasanya masih ramai rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup, manakala sebahagian pekerja dan perniagaan berdepan keadaan yang sukar,” jelasnya.

Tegas beliau, kerajaan tidak hanya mengejar angka pertumbuhan tinggi, sebaliknya memastikan kekayaan dan kemajuan negara dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pendapatan lebih bermakna, peluang pekerjaan berkualiti serta bantuan kepada golongan rentan.

Malaysia kekal berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada permintaan global terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), kitaran menaik teknologi global, peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta pendigitalan yang berterusan.

Pelaburan dalam teknologi, pusat data dan infrastruktur utama dijangka terus menyokong kapasiti produktif serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi.

Kerajaan akan terus melaksanakan agenda reformasi di bawah Ekonomi Madani selain mengekalkan disiplin fiskal sebagai keutamaan bagi mencapai sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada tiga peratus atau lebih rendah dalam jangka sederhana.