KUALA LUMPUR - Syarikat peneraju kandungan, Astro melancarkan sambutan ulang tahunnya yang ke-30 tahun di samping menawarkan pelbagai ganjaran istimewa dan pengalaman eksklusif.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana berpeluang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap media dan hiburan negara sepanjang tiga dekad lalu.
Menurut beliau, sokongan pelanggan amat membantu Astro untuk terus meneroka dan melahirkan bakat-bakat baharu sambil membawakan kisah yang mencerminkan keunikan serta kepelbagaian di negara ini.
"Menjadi satu penghormatan buat kami untuk terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia.
“Sempena sambutan ulang tahun ke-30, Astro ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jutaan rakyat Malaysia yang menjadikan kami sebahagian daripada kehidupan mereka," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 Astro dan Hari Kebangsaan 2026, pelanggan berpeluang menikmati ganjaran istimewa, penambahan tawaran kandungan serta pengalaman eksklusif bermula Ogos sehingga Disember depan.
Mulai 15 Ogos sehingga 16 September, pelanggan Astro bakal menikmati akses kepada semua saluran Astro.
Pelanggan juga berpeluang menikmati dua saluran tambahan istimewa iaitu Astro 30 (Saluran 100) dan Aniplus (Saluran 120).
Astro 30 yang tersedia bermula 15 Ogos hingga 31 Oktober membawakan barisan istimewa hit antarabangsa, filem blockbuster, konsert dan program kegemaran ramai.
Antara sorotan termasuk kesemua lapan filem Spider Man, Borneo Rising, The Last Kopek Senario Reunion 30 Tahun, BTS: Love Yourself in New York Concert Film, How to Make Millions Before Grandma Dies, Tekad: Ekspedisi Guthrie Everest 2026 dan edisi terbaharu Tom Tom Bak.
Ia juga membawakan lima telefilem istimewa.
Aniplus pula tersedia bermula 15 Ogos hingga 31 Disember, menawarkan akses beberapa siri terbaharu dan juga popular dari Jepun termasuk Trapped in a Dating Sim 2: The World of Otome Games is Tough for Mobs serta Hanaori-san Still Wants to Fight in the Next Life khusus buat penggemar anime.
Bukan itu sahaja, pelanggan Astro juga bakal menerima akses kepada Astro X3 yang baharu dilancarkan di semua peranti televisyen pintar, membolehkan mereka untuk strim terus menerusi aplikasi Astro tanpa perlu menggunakan dekoder.
Pelanggan NJOI akan menikmati lebih kandungan dengan Astro Prima, Astro Oasis, Astro AEC dan Stadium Astro secara komplimentari bermula Khamis (13 Ogos).
Lebih daripada sekadar tontonan, Astro Audio bakal membawakan KITA FM 2026: Satu Nama, Satu Suara, inisiatif istimewa yang menggabungkan kesemua 13 jenama Astro Audio di bawah satu bumbung untuk siaran langsung luar konti.
KITA FM membawakan jelajah bas, sesi ramah mesra dan pengalaman interaktif bermula pada Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya sebelum melabuhkan tirainya di Kuching, Sarawak pada 16 September depan.
Sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Malaysia, KITA FM turut melancarkan Larian 63 Kilometer dengan membawakan kesemua penyampai radio mengejar Malaysia Book of Record (MBOR) sekali gus memperkenalkan lagu tema berbilang bahasa berjudul KITA di semua platform penstriman.
Buat pengunjung acara dan peminat konsert, MY FM Big Show bakal kembali pada 17 Oktober depan di Arena of Stars, Resorts World Genting.
Konsert tersebut membawakan penyampai MY FM dan barisan bintang tempatan serta antarabangsa dalam satu acara berprestij industri radio.
Pelanggan Astro bakal menikmati pelbagai tawaran istimewa, termasuk diskaun dan tiket percuma ke konsert ALPHA First Wave, MY FM Big Show, Gegar Vaganza serta Konsert KITA Countdown.
Ia juga meliputi akses 'fast lane' ke sesi ramah mesra di acara Home of Kids serta Sepak Takraw League dan Sultan Azlan Shah Cup.
Sambutan tersebut dijangka berlangsung di atas pentas utama pada 23 Ogos ini di pintu masuk utama Pavilion Kuala Lumpur berserta acara sambutan 30 tahun Astro.
Astro membawakan bintang-bintang ternama dan bakat baharu seperti Faizal Tahir, Sherry Al Hadad, Stacy Anam, ALPHA, Vanessa Reynauld, Auddra dan Zeppo Youngsterz.
Peminat boleh bertemu dengan bintang kegemaran mereka daripada rancangan Talk To My Manager 2.
Penonton juga berpeluang bertemu bintang drama bersiri dan filem termasuk drama Cina (Wolong: The Mastermind), siri Tamil (Visham dan Mounam Pesiyadhe) serta prekuel siri paling berjaya iaitu Project: High Council-Kudrat dan Terbang, filem yang diinspirasikan daripada kisah benar pelumba ralli legenda, Karamjit Singh.
Pelanggan Astro terpilih berpeluang menyaksikan acara daripada Zon VIP Rock eksklusif untuk beramah mesra lebih dekat dengan selebriti kegemaran masing-masing.