KUALA KRAI - Selepas empat hari, jasad seorang lagi remaja lemas di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Aur Duri di sini akhirnya ditemukan pada Jumaat di sungai di Machang sejauh 51 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penguasa Bomba Kanan Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, jasad Muhamad Rayyan Hakimie Mohd Yusmiza, 14, ditemukan orang awam di tepi sungai di Kampung Bandar Pulai Chondong, Machang, pada jam 1 tengah hari.
“Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Akhbar sebelum ini melaporkan, kegembiraan lima sabahat mandi sungai Selasa lalu bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas dalam kejadian jam 6.39 petang itu.
Rakan mangsa, Muhammad Lut Na’iman Mohd Noor Aziron, 14, terlebih dahulu ditemukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 9.10 pagi, Rabu lalu, kira-kira 50 meter dari lokasi kedua-dua remaja dipercayai terjatuh ke dalam sungai.
Menurut Nik Ahmad Afsham, operasi SAR membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Penyelamat di Air, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Bomba Sukarela, Unit K9 serta penduduk setempat.
“Penemuan ini mengakhiri operasi SAR yang bermula Selasa lalu,” katanya.