GEORGETOWN - Seorang lelaki ditahan polis bersama rampasan dadah bernilai lebih setengah juta ringgit dalam dua serbuan di Queensbay, Bayan Baru di sini, 12 April lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan bersama pelbagai jenis dadah iaitu 1.545 kilogram (kg) heroin base, 32.654kg heroin, 6.66kg syabu, 3,300 biji eramin 5, 41.7 gram ganja dan 25kg kafein dengan nilai keseluruhan berjumlah RM717,896.
Menurutnya, kesemua dadah yang dirampas mampu digunakan oleh 154,318 penagih sekiranya terlepas di pasaran.
"Selain itu, kita turut menyita sebuah Proton Preve dan motosikal jenis Yamaha Y15Z dengan nilai keseluruhan RM37,700.
"Turut dirampas, dua buah periuk besar namun kita masih menyiasat tentang barangan tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang tadi.
Terdahulu, suspek yang sudah berkahwin itu ditahan ketika menunggang motosikal di tepi jalan yang kemudiannya membawa polis ke sebuah rumah yang dijadikan stor di kawasan berdekatan.
"Lelaki tersebut ditahan dalam serbuan yang bermula pada jam 6.30 petang, 12 April sehingga 10 pagi, 13 April lalu," katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek bergerak sendirian, namun polis masih menyiasat individu yang mempunyai hubungan dengannya.
Menurutnya, suspek yang mempunyai satu rekod jenayah itu dipercayai aktif semula dalam kegiatan pengedaran dadah sejak tiga minggu lalu selepas berhenti sebelum ini, dengan menyasarkan pengedaran bagi pasaran tempatan.
Katanya, suspek yang tidak bekerja itu juga didapati positif ganja melalui ujian saringan air kencing dan direman tujuh hari sehingga 19 April ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.