[VIDEO] Lelaki tunjuk 'anu' kepada warga emas dipenjara sebulan, denda RM2,500

Iklan

SEREMBAN - Padah menunjukkan kemaluan kepada wanita warga emas, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Majistret, Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Muhammad Syahmi Mohad Md Jalel, 30 selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara tambahan empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan perbuatan tersebut kepada seorang wanita berusia 75 tahun di Kampung Baru Mambau di sini pada 31 Julai 2026.

Iklan

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Iklan

Peguam Zaiful Bahrin Kamde dalam rayuannya memaklumkan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai tanggungan dua anak berusia empat tahun dan 12 bulan selain bekerja di syarikat cuci kenderaan dengan pendapatan RM1,800.

Jelasnya, pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah, malah dia turut mengaku menyesal dan memohon maaf atas kesalahan dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

"Mohon hukuman denda diberikan dan saya mencadangkan tidak melebihi RM3,000 memandangkan pendapatannya hanya RM1,800,"katanya

Timbalan Pendakwa Raya, Nurnadiahani Ideris memohon hukuman penjara atau denda maksimum dengan mengambil kira faktor kepentingan awam berbanding kepentingan individu, selain kesan perbuatan tertuduh terhadap mangsa.

Beliau berkata, hukuman maksimum juga sebagai memberi pengajaran dan pencegahan bukan saja terhadap tertuduh tetapi juga masyarakat.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkapan.

Selain itu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas perbuatan sama terhadap seorang wanita berusia 71 tahun di tepi jalan Kampung Baru Mambau 1, pada 3 Ogos 2026.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM9,000 dan mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai

Sebutan semula kes 18 September depan.