Pentadbiran Trump umum tarif baharu ke atas Dron

Iklan
Donald Trump - Foto: Agensi

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis menandatangani satu pengisytiharan untuk mengenakan tarif baharu ke atas dron dan komponennya, termasuk levi 15 peratus terhadap import dari Korea Selatan, Jepun serta beberapa ekonomi lain, menurut Rumah Putih.

Langkah itu disifatkan sebagai usaha memperkukuh keselamatan negara, lapor Agensi Berita Yonhap.

Iklan
Iklan

Di bawah pengisytiharan berkenaan, tarif 100 peratus akan dikenakan ke atas dron tertentu termasuk dron bersaiz lebih besar dan yang dilengkapi keupayaan pengimejan terma, yang dianggap sensitif dari sudut keselamatan negara.

Tarif 25 peratus pula akan dikenakan ke atas dron tertentu yang lebih kecil dan menimbulkan kebimbangan keselamatan.

Iklan

Import dari Korea Selatan, Jepun, Kesatuan Eropah (EU), Liechtenstein, Switzerland dan Taiwan akan dikenakan tarif 15 peratus, manakala import dari Britain dikenakan duti 10 peratus.

Tarif baharu itu dijadual berkuat kuasa pada 12.01 tengah malam, 3 September tahun ini, kecuali tarif ke atas komponen dron yang kurang sensitif yang akan berkuat kuasa pada 12.01 tengah malam, 9 Februari tahun depan, menurut pengisytiharan itu.

Iklan

Trump mengumumkan tarif berkenaan di bawah Seksyen 232 Akta Perluasan Perdagangan 1962, yang membolehkan Presiden melaraskan import ke AS sekiranya ditentukan bahawa import berkenaan mengancam atau berpotensi menjejaskan keselamatan negara. - Bernama