SHAH ALAM - Sebuah stor penyimpanan kabel elektrik di Jalan Kunci Air, Padang Jawa di sini musnah terbakar pada Khamis.
Penolong Kanan Penguasa Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.11 malam.
"Seramai 21 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam serta bantuan BBP Klang Selatan serta Bukit Jelutong bersama jentera digerakkan ke lokasi yang jaraknya sejauh 10 kilometer," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ashrul Riezal berkata, pihaknya tiba di lokasi sembilan minit kemudian, mendapati kebakaran melibatkan sebuah stor penyimpanan kabel elektrik bangunan kelas C.
"Anggaran kebakaran membabitkan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan bangunan.
"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan kerja-kerja pemadaman masih dijalankan," katanya.